SIMSUDIN (tengah) bersama Anggota Majlis Penasihat yang baharu dilantik bagi sesi 2023-2025. Kelihatan sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail.
LABUAN: Perbadanan Labuan (PL) perlu berusaha untuk memperkukuhkan sumber ekonomi dengan meraih peluang peluang pekerjaan untuk dinikmati oleh rakyat tempatan.
Pengerusi Perbadanan Labuan, Tan Sri Anifah Aman berkata, selain itu Perbadanan Labuan juga perlu berusaha untuk memperkukuhkan organsasi yang lebih mantap serta mengutamakan kebajikan rakyat dan pembangunan Labuan.
“Labuan berpotensi untuk dibangunkan bagi menarik pelabur asing dan ini sekaligus membuka banyak peluang pekerjaan disamping dapat meningkatkan ‘Purchasing Power’ serta mewujudkan kitaran ekonomi domestik” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Perbadanan Labuan dan Anggota Majlis Penasihat Perbadanan Labuan sesi 2023-2025 serta Majlis Apresiasi Mantan Anggota Perbadanan Labuan dan Mantan Anggota Majlis Penasihat Perbadanan Labuan di salah sebuah restoran terkemuka di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Anifah turut menjelaskan hasil pendapatan PL hanya dapat menampung 60 peratus perbelanjaan tahunan dan masih memerlukan suntikan dana peruntukan sebanyak 40 peratus daripada kerajaan pusat.
Justeru itu katanya, warga Pengurusan Perbadanan Labuan bersama barisan kepimpinan Anggota Perbadanan Labuan yang baharu dilantik perlu menetapkan hala tuju dan menggandakan usaha bagi mencapai hasrat tersebut.
“Saya berharap dalam tempoh sedekat ini PL perlu menggariskan perancangan yang lebih strategik serta dapat melaksanakan perancangan denga lebih berkesan” katanya.
Pada masa yang sama beliau berharap Pelan Strategik (pengurusan) Perbadanan Labuan dan Pelan Pendigitalan Perbadanan Labuan yang dirancanakan dan ditambah baik setiap 5 tahun adalah menjadi tindakan sokongan untuk menggerakkan kelancaran rancangan pemajuan Wilayah Persekutuan Labuan.