27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, April 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PL laksanakan pengecualian bayaran fi lesen penjaja percuma setahun berkuatkuasa Jun 2020

GAMBAR: Dr. Fary menunjukkan garis panduan dan SOP aktiviti perniagaan yang perlu dipatuhi oleh penjaja dan peniaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

LABUAN: Perbadanan Labuan (PL) akan melaksanakan pengecualian bayaran fi lesen penjaja selama setahun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan) 2016 bermula 1 Jun 2020 hingga 2021.


Demikian diberitahu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman dalam satu sidang akhbar di pejabatnya Tingkat 4, Wisma Perbadanan Labuan, pada Khamis.


Beliau berkata, pengecualian tersebut selaras dengan pengumuman pemberian lesen penjaja percuma kepada peniaga kecil Labuan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa semasa lawatan kerja beliau ke Labuan baru-baru ini.


“Pengecualian bayaran fi lesen ini melibatkan pengurangan kutipan hasil Perbadanan Labuan yang dianggarkan berjumlah RM48,260.00 setahun” katanya.

SIDANG AKHBAR…. Dr. Fary bersama pemgamal media yang hadir pada sidang media pada Khamis.


Dalam waktu yang sama, warga Labuan yang ingin berniaga secara kecil-kecilan di kawasan kediaman, perumahan dan sekitar kampung boleh memohon kelulusan dari Perbadanan Labuan, bagaimanapun ia tertakluk kepada peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


“Manakala bagi penjaja atau peniaga pasar yang sedia ada mereka hanya perlu mengemaskini lesen penjaja dan lesen pasar mereka yang dikeluarkan seblum ini” katanya.


Sehingga kini Perbadanan Labuan merekodkan lesen peniaga yang sedia ada sebanyak 391 membabitkan 317 lesen makanan, 54 pelbagai lesen dan lesen E-Kasih sebanyak 30.


Menurut Dr, Fary, inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Wilayah itu dapat membantu rakyat dan peniaga menjana semula pendapatan akibat kesan penularan pandemik COVID 19.


Perbadanan Labuan juga katanya, bersetuju untuk melanjutkan tempoh sah laku pendaftaran kad perkhidmatan penghantaran makanan yang telah berdaftar dengan Perbadanan Labuan.


“Sejumlah 122 perkhidmatan penghantaran makanan yang berdaftar dengan Perbadanan Labuan akan dilanjutkan kad perkhidmatan mereka sehingga 31 Disember tahun ini berpandukan peraturan SOP yang ditetapkan” katanya.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran), Rithuan Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (Pengurusan), Fadzilah Mahmood dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (Pembangunan), Ibrahim Tambi. –Borneo Daily Bulletin


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN