REMAN…sebahagian daripada individu lelaki yang diingkar PKP di reman selama 3 hari oleh pihak mahkamah, pada Jumaat.
LABUAN: Polis di sini membuat 13 tangkapan membabitkan 24 individu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 3 di sekitar bandar Labuan malam kelmarin.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, 24 individu yang ditangkap itu membabitkan 14 lelaki, dua daripadanya warga asing (India) serta 10 wanita, enam daripadanya warga asing (Filipina).

“Kesemua individu yang berumur antara 19 hingga 66 tahun itu ditangkap antara jam 6 petang hingga 12 tengah malam selepas didapati berkeliaran di pusat bandar tanpa tujuan dan alasan yang munasabah” katanya dalam satu sidang akhbar di Pusat Media Jawatankuasa Komunikasi COVID 19, Wisma Perbadanan Labuan, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata semua individu berkenaan telah ditahan reman selama 3 tiga hari bermula pada Jumaat untuk siasatan lanjut.
“Kesemua individu berkenaan akan di dakwa di mahkamah mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan Perkara 3 (1) Akta Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (no.3) 2020 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan”, katanya.

Beliau berkata sejak PKP tahap 1 hingga ke hari ini seramai 43 individu telah ditahan dan lapan daripadanya telah pun didakwa di mahkamah.
Dalam perkembangan yang sama, pihak polis akan terus menjalankan operasi bagi memastikan orang awam mematuhi PKP bagi membendung wabak COVID 19 khususnya di pulau ini. TAMAT