Sabinus (Tengah Krew Sukarelawan 4×4) menyampaikan bantuan kepada Halius diperhatikan Aoziah.
RANAU: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga terus memberi implikasi kepada penduduk di daerah ini khususnya golongan tidak berpendapatan tetap.
Mujur sepanjang PKP yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, pihak kerajaan telah mengumumkan pakej bantuan untuk membantu meringankan beban ditanggung rakyat yang terkesan dengan perintah tersebut.
Jonathan Yasin
Selain dalam bentuk wang tunai, kerajaan juga telah menyediakan bantuan dalam bentuk barang makanan asas seperti beras, minyak masak dan lain-lain.
Untuk daerah Ranau, bantuan seumpamanya telahpun mula dihantar kepada golongan sasar di setiap kampung sepanjang PKP fasa pertama dan kedua dilaksanakan menerusi inisiatif Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Baru-baru ini, seramai 195 lagi keluarga yang benar-benar layak dan memerlukan dari 13 buah kampung telah menerima bantuan barang makanan dari Jonathan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri II (KDN).
Sumbangan tersebut telah dihantar dan disampaikan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau mewakili Jonathan dengan dibantu Sukarelawan dari Team G6 4×4 Ranau.

13 buah kampung terlibat ialah Kg. Tanah Merah (Karanaan Baru), (23 penerima) Kg. Kinasaraban kundasang (25), Kg. Lipoi (20), Kg. Togoyog (6), Kg. Muhibbah (47), Kg. Kibarambang (4), Kg. Tamalang (10), Lot Perumahan Simpang Taman Saujana (15),Kg. Mumpait (5), Kg. Mogoho (5) dan Kg. Soyod (5), kakitangan Jabatan Air Kg. Matupang (15) dan pekerja bengkel seramai 15 orang.

Sementara itu, ramai penduduk yang telah menerima bantuan sebelum ini menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas inisiatif serta sumbangan berkenaan yang disifatkan mereka sebagai bantuan prihatin dan tepat pada masanya. TAMAT