Gambar bersama tetamu kehormat majlis.
MENGGATAL: Petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Menggatal diraikan dalam Majlis Anugerah dan Makan Malam anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Klinik Kesihatan Menggatal (KSRKKM) yang berlangsung di klinik berkenaan, baru-baru ini.
Majlis tersebut menghimpunkan kakitangan klinik yang juga ahli KSRKKM bersama ahli keluarga serta panel penasihat klinik, sekali gus menjadi platform memperkukuh silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja kesihatan.
Antara pengisian utama majlis ialah penyampaian anugerah dan penghargaan kepada staf yang telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tahun 2025 dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada komuniti setempat, khususnya penduduk di sekitar Menggatal.
Menurut penganjur, penubuhan KSRKKM bukan sekadar memfokuskan aktiviti sukan, rekreasi dan kesukarelawanan, sebaliknya berperanan sebagai medium sokongan kebajikan serta pemangkin motivasi dan kemajuan kerjaya kakitangan klinik.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Haji Shuib Nasir serta Puan Suhailah, pemilik Suhailah Physiotherapy Centre, yang dikenali aktif menyumbang khidmat dan sokongan terhadap pembangunan komuniti setempat.
KSRKKM menyasarkan majlis seumpama ini dijadikan acara tahunan selaras dengan aspirasi kelab untuk terus kekal relevan, bukan sahaja kepada warga Klinik Kesihatan Menggatal, malah kepada masyarakat setempat secara keseluruhan.



