Raisin (tengah) menyampaikan kalkulator saintifik kepada salah seorang penerima.
KOTA KINABALU: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menyumbangkan 17,190 kalkulator saintifik kepada pelajar di Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif berkata sumbangan tersebut membuktikan sokongan pihak PETRONAS dalam memperkasakan sektor pendidikan di Sabah.
“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih atas dukungan serta sokongan yang berterusan PETRONAS dalam memperkasa pendidikan di negeri ini khususnya dalam bidang Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET).
“Buktinya pada hari ini lebih 17,000 kalkulator saintifik diberikan kepada para pelajar kita untuk bermula mendekati bidang-bidang STEM.
“Program-program sebegini sangat baik untuk anak-anak kita serta belia kita yang berkursus di institusi berkenaan.
“Semoga selepas ini akan banyak lagi program bersama dengan PETRONAS khususnya dalam bidang Tvet dan bidang-bidang yang memungkinkan anak-anak kita mendapat pekerjaan pada masa hadapan,” ujarnya ketika ditemui media dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Kalkulator Saintifik bagi Program WeHelp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman di antara PETRONAS dengan Institut Latihan Teknik Dan Perdagangan (ILTP) di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Dalam upacara penyerahan itu, Pengurus Besar Pelaburan Modal Insan Petronas Syed Mohammad Muhafiz Syed Mohd Bakar tampil sebagai wakil Petronas manakala Ketua Eksekutif KTYS Datuk Tah Nia Jaman dan Pengarah ILTP Celestina Aron mewakili kedua agensi tersebut.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Abdullah Monshie, Setiausaha Tetap Kementerian Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin.-Penerangan-