31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pesta Kaamatan sebagai titik melonjakkan ekonomi: James


KUALA PENYU: Jadikanlah sambutan Pesta Kaamatan sebagai titik permulaan bagi kita melonjakkan tahap ekonomi diri dan masyarakat, demi menjamin masa depan yang lebih baik kepada semua, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat YB Datuk James Ratib.


“Sambutan Pesta Kaamatan yang kita raikan setiap tahun, memberi peringatan kepada semua pihak untuk berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan dan seterusnya memelihara keterjaminan sumber makanan di negeri ini.


“Ia amat bertepatan sekali dengan tema Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Menjangkaui Keterjaminan Makanan’, di mana tema ini merujuk kepada kepentingan dan implikasi yang lebih mendalam dalam memastikan keselamatan makanan menjangkaui isu memenuhi keperluan pemakanan asas,” katanya.


Secara tradisi, kata James, Pesta Kaamatan merupakan antara kesempatan yang terbaik untuk mengeratkan lagi semangat perpaduan dan kekitaan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dan rakyat dari kalangan masyarakat Kadazandusun, Murut, Rungus (KDMR).


“Malah kepelbagaian dan keunikan adat dan budaya tempatan ini turut dirasai dan dikongsi bersama oleh rakyat dari pelbagai suku kaum, agama dan budaya di negeri ini.


“Sesungguhnya kita amat bersyukur kerana walaupun masyarakat kita terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik, namun selama ini kita dapat hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni,” katanya.


James yang juga Adun Sugut berkata demikian sempena Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu yang diadakan di Dewan Dato’ Shah Bandar Makang, Kuala Penyu pada hari Sabtu.


Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sahabat saya, YB Datuk Limus Jury, atas jemputan baginya merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu Tahun 2024.


Sementara itu, beliau berkat kerajaan yang ada pada hari ini sentiasa komited untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh pelosok negeri termasuklah di kawasan Kuala Penyu.


“Usaha ini dijayakan melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan agenda di bawah kerajaan negeri yang ditarajui oleh GRS pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.


“Oleh itu, besarlah harapan saya agar kita bersama-sama dapat memelihara semangat yang positif ini kerana ia memberikan sumbangan yang besar dan amat bermakna kepada kestabilan politik dan pembangunan ekonomi dalam pelbagai bidang khususnya di daerah Kuala Penyu.


“Apa yang penting adalah untuk rakyat sentiasa memberikan sokongan padu kepada usaha-usaha kerajaan dalam membela nasib rakyat dengan memastikan setiap perlaksanaan program pembangunan yang dirancang dapat berjalan dengan lancar,” katanya.


James merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak khususnya pengerusi dan ahli jawatankuasa pelaksana Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kuala Penyu di atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN