30 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pesta Kaamatan bantu rancakkan pemulihan sektor pelancongan Sabah

Dr Joachim (kanan) menerima cendera kenangan daripada JumainSugandoi Ranau 02Dr Joachim (tengah) memasuki Dewan Masyarakat Ranau sambil diiringi oleh Jumain (kiri)

RANAU: Perayaan Pesta Kaamatan yang diadakan secara fizikal tahun ini memberikan impak positif kepada proses pemulihan sektor pelancongan negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Katanya, Pesta Kaamatan bukan sahaja perayaan yang diraikan selama sebulan setiap tahun oleh masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) tetapi juga merupakan salah satu tarikan utama pelancong ke negeri ini.

“Kerana ini juga kita bersyukur selepas dua tahun tiada sambutan Kaamatan diadakan, kini kita boleh merayakannya secara fizikal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya semasa merasmikan pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau, di sini malam ini (11 Mei).

Dr Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, Pesta Kaamatan merupakan tanda kesyukuran masyarakat KDMR ke atas perolehan hasil tuaian penanaman padi yang baik dan mengharapkan agar rezeki yang akan datang lebih bertambah baik.

Katanya, sambutan pesta ini dapat menunjukkan identiti KDMR melalui bahasa, budaya (cara hidup) termasuk muzik, adat resam dan tradisi, makanan serta pakaian tradisional.

“Sambutan Pesta Kaamatan juga merupakan satu platform untuk memupuk perpaduan sesama kita tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan.

“Perayaan ini merupakan landasan yang baik untuk mendedahkan kesenian dan kebudayaan kita sama ada dalam dan luar negara. Sudah tentu ini akan memberikan impak positif kepada sektor pelancongan negeri ini.

“Sambutan Kaamatan juga dirayakan oleh warga Sabah (KDMR) yang berada di luar negara seperti New Zealand, Australia (Perth) dan USA (New York), juga di Semenanjung Malaysia seperti Johor, Melaka, Klang Valley dan Putrajaya,” katanya.

Menurutnya, selain Unduk Ngadau, pertandingan sukan tradisi dan masakan tradisi, Sugandoi Kaamatan juga sememangnya sinonim dengan sambutan Pesta Kaamatan.

“Sugandoi menjadi salah satu acara yang dipertandingkan bagi mereka yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik dan lagu yang didendangkan dalam bahasa etnik yang juga menjadi hiburan bersama.

“Saya menggalakkan peserta Sugandoi kita agar, selain memilih lagu bertemakan kasih sayang, mereka juga dapat menyampaikan lagu yang menggambarkan keindahan alam semulajadi negeri ini, kisah rakyat tempatan dan lagu-lagu yang membawa mesej perpaduan sejagat ‘orang kita’,” katanya.

Katanya, ini bersesuaian dengan tema Pesta Kaamatan pada tahun ini “Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi” atau dalam bahasa Kadazandusun “Kaamatan Monunduan Do Winorun” yang mengajak semua menyedari betapa pentingnya penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan memupuk rasa cinta dan menjaga khazanah alam semulajadi, flora dan fauna yang unik.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada peserta yang menang dalam Sugandoi Kaamatan dan kepada yang tidak berjaya, jangan berputus asa, boleh lagi mencuba pada tahun hadapan.

Selain itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa induk Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau dan jawatankuasa Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau yang terlibat dalam memastikan Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Ranau berjalan dengan lancar.

“Semoga dengan berlangsungnya Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau ini akan mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan semangat cintakan amalan budaya tradisional di kalangan penduduk Ranau secara keseluruhannya,” katanya.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abd Ghani, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin dan Pengerusi Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Ranau, J. Sam Hj. Sundin.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN