Bungkias (duduk depan, 5 dari kiri), para kaunselor bersama guru Bimbingan & Kaunseling, Ranau.
RANAU: Lebih 70 orang guru terdiri daripada Guru Bimbingan & Kaunseling lantikan jabatan dan lantikan dalaman sekolah yang menghadiri Program Santunan Kasih di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohammad Ali kelmarin menyifatkan program tersebut sebagai suatu perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat kepada semua peserta.
Program Santunan Kasih Sepakat Sabah Hebat anjuran Sektor Psikologi & Kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dengan kerjasama Sektor Psikologi & Kaunseling Pejabat Pendidikan Daerah Ranau bertujuan menyantuni semua guru Bimbingan & Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan melalui beberapa pengisian program seperti Latihan Dalam Kumpulan 1 (Sesi Perkenalan dan Tugasan), Latihan Dalam Kumpulan 2 (Bimbingan Kelompok) dan Latihan Dalam Kumpulan 3 (Refleksi, Etika Profesional, Penjagaan Kendiri dan Rumusan).
Ketika menyampaikan ucapan mewakili peserta, Ellick Manjalin yang bertugas sebagai Guru Bimbingan & Kaunseling Sepenuh Masa di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh Ranau berkata pembahagian peserta kepada sepuluh kumpulan kecil dengan pelbagai aktiviti sangat memberi impak positif kepada semua peserta terutama sekali guru-guru Bimbingan & Kaunseling baharu lantikan dalaman sekolah.
ari kiri: Hidian dan Ellick bersama Halim, Kaunselor JPN Sabah.
“Aktiviti terakhir tadi ‘Bimbingan Kelompok’ walaupun masa yang agak terhad namun sangat bermanfaat kerana sempat membincangkan berbagai isu, meluahkan perasaan, berkongsi ilmu, pandangan dan syor daripada para peserta bersama kaunselor dalam kumpulan kelompok masing-masing,” jelas Ellick.
Pengerusi Majlis Guru Bimbingan & Kaunseling Daerah Ranau, Hidian Daransun dalam ucapan maklumbalasnya terhadap program tersebut turut mengharapkan agar pada masa-masa akan datang akan ada lagi lebih banyak program untuk menambah pengetahuan terutama sekali bagi guru Bimbingan & Kaunseling lantikan sekolah.
“Kita mengharapkan ilmu yang telah dikongsikan oleh para kaunselor pada hari ini dapat diaplikasi oleh para peserta bagi membantu klien di sekolah masing-masing,” ujar Hidian.
Kaunselor Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Bungkias Angkapoh ketika ditemui media berkata sesi Program Santunan Kasih akan bersambung pada 15 September yang akan melibatkan semua guru besar dan pengetua sekolah di daerah ini. Majlis Perasmian program dijangka akan disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Sabah, Puan Tah Nia binti Haji Jaman.