DAVID CHAN
KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah mempersoalkan mengenai isu kenaikan harga ayam dan telur di negeri ini selepas kerajaan Persekutuan menghentikan subsidi makanan berkenaan.
Presidennya David Chan berkata, kenaikan harga sekitar 30 peratus itu memperlihatkan seolah-olah Sabah terpinggir daripada menikmati kemudahan khususnya dalam usaha mengekang beban kos kehidupan harian.
Beliau berkata, Sabah sentiasa kaya dengan pelbagai budaya dan keharmonian berbilang kaum di kalangan kumpulan entik dan kaum juga seakan terpinggir kerana sifat geografinya.
“Kita kaya dengan hutan tropika dari segi kredit karbon menyelamatkan dunia, namun Sabah sentiasa ketinggalan dalam banyak perkara termasuk industri, pengangkutan, komunikasi dan logistik.
“Sekarang ini para pengguna mengadu harga ayam dan telur meningkat 30 peratus selepas kerajaan menghentikan subsidi sumber makanan berkenaan sejak 1 November lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula bentuk subsidi ayam dan telur di Sabah untuk membantu golongan B40 menangani kos sara hidup yang tinggi.
“Saya percaya kerajaan negeri kita sedang berusaha untuk menangani kos sara hidup yang tinggi untuk meningkatkan pengeluaran sumber makanan.
“Namun isu harga sumber makanan semasa perlu diberi perhatian serius supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.
David turut menyaran Kerajaan Sabah mesti mengambil semula SESB sebagai pengawal selia perkhidmatan elektrik, Sabah mempunyai autonomi untuk memutuskan kos tarif SESB demi untuk menjaga kepentingan pengguna Sabah.
“Kerajaan Sabah juga harus melaksanakan projek kuasa solar yang mencukupi dan Bess untuk jangka masa panjang dan pendek bagi memastikan bekalan kuasa yang mencukupi untuk rakyat,” ujarnya.