CENDERAHATI…. Sahidan menerima cenderahati daripada Jainudin (dua kanan) sambil diperhatikan Jailani (kiri) dan Setiausaha Persatuan Penggiat Media Labuan, Noor Afatizah Sabtu.
LABUAN: Persatuan Penggiat Media Labuan mengadakan Kunjungan hormat terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Sahidan Kassim di Pejabatnya Tingkat 6, Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad.
Kunjungan yang julung kalinya diadakan itu diketuai oleh Pengerusinya Jainudin Djimin bersama 13 ahli persatuan itu sempena program lawatan media Labuan ke Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Langkawi.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah tiga pegawai Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Strategik Perbadanan Labuan (PL) yang diketuai oleh Penolong Pengarah Jabatan itu, Nurul Ashikin Suhaili.
Turut hadir, Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mahadhir Sulaiman dan Timbalan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan yang juga Ketua Biro Bernama Labuan, Jailani Hassan.

SAHIDAN (kanan) dan Mahadhir bersama pengamal media yang hadir pada kunjungan hormat tersebut.
Dalam pertemuan hampir 45 minit itu, Dato’ Seri Sahidan yang mesra dengan kehadiran pengamal media Labuan telah menjelaskan beberapa perkara yang menjadi keutamaan dan hasrat beliau dalam memajukan Labuan ianya termasuklah menjadikan Labuan sebagai pusat membeli belah yang terkenal dirantau Borneo disamping mengembalikan keistimewaan status Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai.
Bagaimanapun katanya, bagi merealisasikan hasrat itu beberapa perkara berkaitan dasar baharu perlu dibincangkan di peringkat kementerian.
Sementara itu, Jailani yang mewakili Persatuan Penggiat Media Labuan dalam kunjungan hormat itu turut menjelaskan bahawa pengamal media di Labuan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Wilayah (KWP) dan juga Perbadanan Labuan dalam memperkasakan Labuan sebagai sebuah pulau yang berpotensi untuk dimajukan khususnya yang melibatkan sektor pelancongan sesuai dengan status Labuan pulau bebas cukai.