Dewi (duduk enam dari kanan) bergambar bersama peserta.
RANAU: Persatuan penduduk yang berdaftar dibawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) boleh memohon Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) sejumlah RM10,000 melalui JPPM.
Ketua Cawangan Pengurusan JPPM Negeri Sabah Puan Dewi Maing berkata, geran ini telah diluluskan kerajaan melalui Belanjawan 2023.
Katanya, permohonan telah dibuka mulai 15 Jun 2023 sehingga 30 September 2023.
“Antara lain tujuannya adalah memupuk nilai kesukarelawan dalam memperkasakan keselamatan komuniti” katanya pada Taklimat Pengurusan Pertubuhan Berkualiti Dan Pengukuhan Akta 1966 Zon Ranau.
Taklimat selama sehari itu telah disertai oleh seramai 38 orang peserta yang terdiri daripada pemegang jawatan dalam pertubuhan daripada 21 pertubuhan pelbagai di daerah Ranau.
Ceramah dan taklimat tersebut telah dikendalikan oleh pegawai-pegawai JPPM Cawangan Negeri Sabah yang diketuai oleh Puan Dewi Maing, Ketua Cawangan Pengurusan JPPM Negeri Sabah bersama Encik Megat Riduan Shah Megat Sahridan Nahar.
Taklimat tersebut adalah bertujuan untuk memberi pendedahan serta pengetahuan tentang konsep asas dan tadbir urus pertubuhan kepada pemegang jawatan dan pertubuhan dalam memastikan pertubuhan yang berdaftar, bergerak dan diurus sejajar dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Undang-Undang Pertubuhan serta dasar-dasar negara.
Di samping memberi khidmat nasihat dan memberi penjelasan terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan para peserta, ianya juga memberi peluang kepada para peserta bertukar pandangan dan pendapat dalam mengurus pertubuhan.
Menurut Dewi, maklumat lanjut dan permohonan boleh dibuat melalui sistem eROSES di www.eroses.gov.my. Pejabat JPPM Negeri Sabah terletak di Tingkat 5, Menara MAA, Lorong Api-Api 1, Kota Kinabalu dan boleh dihubungi melalui nombor telefon 088447609 / 088447610 / 088447627. Puan Yuniezah Marlya Yunos adalah merupakan Pengarah JPPM Negeri Sabah ketika ini.