26 C
Kota Kinabalu
Ahad, Mei 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Persatuan Keluarga Keturunan Pahlawan Ontoros @ Antenom terus menjejaki ahli-ahli keluarga

Welly (duduk depan kedua dari kanan) bersama barisan kepimpinan dan ahli-ahli PUSAKA yang hadir.

TENOM: Persatuan Keluarga Keturunan Pahlawan Ontoros @ Antenom (PUSAKA) yang bermula dari jejak kasih sehingga ia berdaftar dengan ROS pada tahun 2013 terus mengorak langkah dan menjejaki ahli-ahli keluarga yang terpisah-pisah.

Presidennya Sinawat Antakah @ Welly berkata, ia bertepatan dengan matlamatnya menjejaki dan menyatupadukan waris-waris Pahlawan Ontoros @ Antenom yang terpisah sejurus berlakunya perang penentangan terhadap penjajah British pada tahun 1915. oleh Aki dan pasukannya yang dikenali sebagai peristiwa ini berdarah Salangit Rundum.

Beliau berkata, PUSAKA menjadi badan penyelaras, pemandu dan penasihat kepada setiap jurusan dan ahli-ahli terutama yang berkaitan dengan pembangunan sumber manusia agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kelompok atau bangsa lain yang sudah jauh lebih maju dan menempah dalam pelbagai kecemerlangan sama ada di peringkat daerah, negeri dan nasional serta mampu mendepani cabaran semasa.

Sehubungan dengan ini katanya, PUSAKA telah merancang untuk menyertai program rasmi kerajaan seperti sambutan Hari Kebangsaan dan mana-mana program rasmi kerajaan termasuklah Pesta Kaamatan dan sebagainya.

“Ini memberi ruang dan peluang kepada pemimpin PUSAKA meningkatkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah dengan amalan dan dasar kerajaan” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PUSAKA di Mini Dewan Taman Pertanian Sabah di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pihak pimpinan persatuan merasa bahawa adalah wajar ahli-ahli diperingkat akar umbi setempat walaupun tidak menyeluruh tetapi sekurang-kurangnya ahli setempat berpeluang turut sama dan merasai keterlibatan apa jua aktiviti yang dibuat.

Menurut Welly, berpaksikan nilai dan roh berpersatuan, PUSAKA meletakkan sepuluh perkara sebagai asas perjuangan untuk memperkasakan Persatuan Keluarga Keturunan Pahlawan ini.

“Yang pertama mengamalkan nilai semangat bersatu padu, berprinsip dan kuat pegangan agama, rajin dan sentiasa berusaha memperbaiki ke arah kecemerlangan diri dan keluarga, ada hubungan ukhuwah dengan masyarakat setempat dan pemimpin, berpendidikan wajib, bertanggungjawab, berkepimpinan sekurang-kurangnya diperingkat asas keluarga, peka terhadap dasar, polisi dan apa jua bantuan kerajaan untuk rakyat, ada daya saing secara sihat dan bersedia mendepani cabaran semasa dan yang kesepuluh kreatif dan berinovasi” jelasnya.

Menyentuh kejayaan PUSAKA selepas 10 tahun Welly berkata, ia telah berjaya menyatu padukan keluarga keturunan Pahlawan Murut tersohor itu yang terpisah-pisah selepas peristiwa berdarah Salangit – Rundum 1915.

“Dan kini ramai anak-anak muda yang berpendidikan mula bekerja di sektor awam dan swasta sama ada kategori profesional, separa profesional mahupun sokongan. Ini diterjemahkan melalui penganjuran dialog profesionalisme di Sipitang pada 23 Oktober 2023 di mana 100 peratus panelnya datang dari ahli-ahli PUSAKA mengikut bidang masing-masing.

Sementara itu katanya, tahun 2023 PUSAKA berjaya merangkul tempat kedua dalam pertandingan masakan tradisi semasa “Ilau Pasisimpungan Murut Malaysia – Indonesia di pekan Nabawan pada 22 Julai 2023.

Selain itu katanya, pada tahun yang sama dengan kerjasama RTM TV1, PUSAKA melahirkan bakat pelakon dalam dokumentari Pahlawan Ontoros @ Antenom sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Rundum Highlands Kemabong.

“Pada tahun yang sama juga PUSAKA berjaya menganjurkan majlis dialog profesionalisme (Pendidikan, Latihan dan Kerjaya) dan makan amal yang diadakan di Sipitang pada 21 Oktober 2023” jelasnya lagi.

Pada masa sama Welly berharap anak-anak muda PUSAKA terus menyumbang bakti dan kecemerlangan di daerah, negeri dan negara ikut keupayaan masing-masing khususnya di kawasan daerah Tenom kerana daerah ini adalah legenda warisan sejarah bangsa dalam konteks apa yang disebut zaman dahulu sebagai Wilayah yang juga dinyatakan oleh beberapa penulis kisah Pahlawan Ontoros @ Antenom sebagai Negeri Murut.

Sempena mesyuarat agung dwi tahunan itu, PUSAKA telah menyampaikan sijil penghargaan dan jasa mu dikenang kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PUSAKA yang sudah pergi buat selama-lamanya yang diterima oleh waris masing-masing.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN