KENANGAN…Jawatankuasa penganjur merakam gambar bersama kenamaan sebelum acara majlis bermula.
RANAU: Persatuan Hakka daerah ini dipuji kerana berjaya melaksanakan program bertaraf peringkat negeri seperti Majlis Penyerahan sumbangan Kepala Singa kepada enam persatuan Tionghua di daerah berkenaan baru-baru ini.
Menteri Kewangan Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)N.37 Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun berkata, kejayaan melaksanakan program tersebut bukan mudah sebaliknya memerlukan satu kerjasama mapan bagi mempastikan ia berjalan lancar dan teratur sepertimana yang dirancang.
“Saya memuji masyarakat Tionghua Ranau atas kejayaan bukan sahaja dalam bidang perniagaan malah bersatu padu dan bekerjasama melaksanakan program dan aktiviti memberi manfaat kepada para ahli dan masyarakat setempat”,jelas Masidi ketika berucap pada majlis Penyerahan Kepala Singa di Dewan Persatuan Hakka Ranau pada Sabtu.
Pada majlis itu Masidi meluluskan sumbangan berjumlah RM20 ribu kepada persatuan Hakka Ranau bagi mengendalikan program akan datang.
Terdahulu Presiden Persatuan Hakka Ranau yang juga Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Ranau, Datuk Jimmy Tham Yuk Leong dalam ucapannya merakam penghargaan dan terima kasik atas kehadiran Datuk Masidi yang seterusnya merasmikan majlis Penyerahan Sumbangan 6 Kepala Singa dari kerajaan negeri Sabah kepada enam persatuan Tionghua di daerah Ranau.
“Saya mewakili persatuan Hakka dan masyarakat Tionghua Ranau berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah atas sumbangan tersebut melalui majlis yang merupakan kali yang keempat ini”, jelas Jimmy.
Beliau mengajak masyarakat Tionghua di Ranau supaya terus bersatu-padu dan menyokong pentadbiran kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Beliau seterusnya menjelaskan tahun ini adalah Tahun Naga yang merupakan simbol Kekuatan, Keberanian dan ‘Nasib Yang Baik’.
“Kita mengharapkan tahun Baru ini akan membawa 1001 kebahagiaan dan kesihatan yang baik serta kemajuan ekonomi kita semua”, katanya sambil menyatakan bahawa kekuatan sesebuah negara adalah kerjasama dan persefahaman yang baik antara pemimpin dan rakyat.
Menurutnya lagi, rakyat negeri ini harus bersyukur kerana masih menikmati kemakmuran yang baik dalam menjalankan kehidupan seharian.
“Kita berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri Sabah kerana menyantuni kepelbagaian etnik di negeri ini tanpa mengira agama, adat dan budaya”, tambah Jimmy.
Majlis telah diserikan dengan persembahan tarian Tanglong oleh 10 orang Kanak-Kanak Tadika SJK Paiwen dan Gerak Tari oleh 7 kanak-kanak dari Tadika Yuk Yu pekan Ranau.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah yang juga ADUN N.38 Paginatan dan Penasihat Undang-Undang Dewan Perniagaan Tionghua serta Persatuan Hakka Ranau, Datuk Abidin Madingkir, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Bin Manggam, wakil-wakil ketua jabatan dan para pemimpin masyarakat setempat.



