RANAU: Selepas berkhidmat selama 36 tahun dalam sektor pendidikan, akhirnya Guru Besar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Wen, puan Ng Li King @ Goh Li King, meraikan persaraannya pada 01 November lalu.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pendidik pada tahun 1983 sebelum bersara wajib diusia 60 tahun dengan melabuhkan tirai perkhidmatannya di SJK (C) Pai Wen, Ranau selepas tujuh tahun menjadi guru besar di sekolah itu bermula tahun 2012.
Ng yang berasal dari daerah Beaufort, merupakan keluaran Maktab Perguruan Kent Tuaran dan pernah dianugerahkan Pelatih Terbaik Akademik 1982, telah memulakan kerjaya sebagai guru di sekolah ST. Dominic, Lahad Datu sebagai Guru sukan, KP Matematik, Pendidikan Moral dan Muzik dari 1983-1996.
Beliau seterusnya berpindah ke sekolah SJK(C) Chung Hwa, Likas sebagai Guru Disiplin, KP Bahasa Malaysia dan Guru Tahun 6, dari 1997-2001. Dan pada 2001-2007, beliau ke SJK(C) ST. James, Likas sebagai Guru Penyelia Petang.

Selepas hampir tujuh tahun di SJK(C) ST. James, Likas, beliau berpindah ke sekolah SJK(C) Kin Kiau, Kinarut Papar sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran dari 2007-2010.
Sebelum dilantik sebagai Guru Besar SJK ( C ) Pai Wen,Ranau, terdahulu Ng telah menjawat jawatan Guru Besar di sekolah
Chung Hwa Tenghilan pada Oktober 2010 sehingga Disember 2012.
Sepanjang perkhidmatan, beliau turut mengecapi beberapa kejayaan dan anugerah khususnya Anugerah Cemerlang pada tahun 2000, 2005, 2010 dan 2014 di SJK(C) Chung Hwa, Likas, SJK(C) St. James, Likas , SJK(C) Kin Kiau, Papar dan di SJK(C) Pai Wen, Ranau.
Sempena persaraan beliau, pihak sekolah telah mengadakan majlis ringkas yang berlangsung meriah di dewan sekolah itu bagi meraikan persaraan guru besar kesayangan mereka.
Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan yang diwarnai dengan setuasi beremosi terutama dipenghujung majlis.
Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Sabah Tanah Airku, disusuli ucapan Pengerusi Pelaksana, Ng Mei Tee, ucapan Yang Dipertua PIBG, Yap Sin Kian, seterusnya ucapan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Alldem Chia Yin Kiong sebelum guru besar, Ng Li King @ Goh Li King tampil menyampaikan ucapannya.
Ng dalam ucapanya berasa sangat terharu atas sambutan majlis persaraan yang telah disediakan kepada beliau. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, kerjasama dan kepercayaan kepadanya untuk memimpin dan mentadbir sekolah ini dengan jayanya.

Pada majlis itu, warga sekolah dan tetamu yang hadir telah berkesempatan menyaksikan paparan video gambar sejarah perkhidmatan guru besar mereka sejak mula berkhidmat pada tahun 1983.
Penyampaian sijil penghargaan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau, penyampaian hadiah wang tunai hasil sumbangan ikhlas ibu bapa sebagai hadiah persaraan termasuk hadiah seutas rantai emas daripada warga sekolah yang disampaikan YDP PIBG, diikuti acara memotong kek harijadi, persembangan nyanyian murid Tahun 6 dan acara bergambar kenang-kenangan turut diadakan.
Sebagai kenangan, Ng turut menghadiahkan sebuah tulisan berbingkai kepada pihak sekolah yang diterima guru-guru penolong kanan, YDP PIBG dan Pengerusi LPS.
Majlis diakhiri dengan acara bersalam-salaman dengan seluruh warga sekolah sebelum beredar ke jamuan makan tengah hari di Restoran 899, Kiaburi Plaza. Manakala pada sebelah malamnya, pihak LPS turut mengadakan majlis makan malam bersama guru besar dan guru-guru di Mount Borneo, Kundasang.
Hadir sama pada majlis itu, Penolong Pengarah SJKC JPN Sabah, Chee Hee Hiong, mewakili Pengarah JPN Sabah, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Siti Hamni Binti Hashim, Penasihat dan JK Pesatuan Hokkien Ranau, Penasihat dan JK Persatuan Peranakan Ranau, JK Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), JK PIBG sekolah, para pegawai SISC+, ahli-ahli Majlis Guru Besar Daerah Kota Kinabalu bagi sekolah-sekolah Cina, YDP MGB Ranau, Asmail Gakau, Guru-guru besar Zon Pekan dan Guru besar SK Kananapon, Ng Moi Lee @ Goh Mui Lee.-TAMAT






Cemerlang dari segi akademik mahupun kokurikulum..

