Penduduk kampung Mukim Tangkarason menunggu giliran untuk menerima vaksin di Dewan Masyarakat Kg. Tangkarason.
SUGUT: Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut, Datuk James Ratib mencadangkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi pertimbangkan kepada masyarakat yang tinggal jauh di pendalaman untuk tidak perlu mendaftar melalui aplikasi My-Sejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 atas pelbagai faktor termasuk kesukaran mendapatkan jaringan internet.
Tegasnya, terdapat pelbagai kaedah lain yang boleh digunapakai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk mewujudkan pangkalan data bagi merekodkan kesemua penduduk pedalaman yang tidak memiliki telefon pintar untuk mendaftar melalui My-Sejahtera agar data-data mengenai individu yang divaksin dapat dirujuk semula.
‘’Sebagai contohnya, dikawasan saya penduduk kampung khasnya warga emas kurang pengetahuan untuk melayari My-Sejahtera untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19. Agak malang lagi, gangguan capaian internet juga agak berkurangan dikawasan pedalaman. Mungkin ada kaedah lebih mudah yang boleh dilakukan oleh KKM. Hanya rekodkan butir-butir peribadi mereka menerusi pangkalan data dan melalui itu, senang untuk mengenalpasti siapa-siapa yang telah menerima vaksin dos pertama dan kedua’’. Cadang James ketika ditemui pemberita pada Khamis.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah berharap agar KKM terus memperhebatkan program ‘Outreach’ ke seluruh pelosok kawasan pedalaman khasnya di kawasan Kg Abuan, Kg.Kuala Lingkabau dan sekitar Kepulauan Jambongan agar masyarakat yang mendiami kawasan tersebut terus terhindar daripada risiko dijangkiti Covid-19.
Dalam pada itu, satu program ‘Outreach’ suntikan vaksin Covid-19 telah berlangsung di Dewan Masyarakat Kg. Tangkarason, Paitan yang mensasarkan seramai lebih kurang 300 orang penduduk kampung. Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada pemimpin masyarakat kawasan N.48 Sugut yang diketuai oleh Justinus Jalang dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Sugut.
Barisan pemimpin masyarakat dari UPPM N.48 Sugut yang diketuai oleh Justinus Jalang turut memberikan kerjasama dalam Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Mukim Tangkarason.
Jelas James lagi, pihaknya sedia memberikan kerjasama penuh terhadap kesemua program pemvaksinan masyarakat luar bandar dan menjadi perantara kepada penduduk yang sukar mendapat informasi mengenai program tersebut.
‘’Saya akan arahkan kakitangan UPPM N.48 Sugut untuk mewar-warkan sebarang program pemvaksinan kepada masyarakat kampung yang tinggal jauh agar mereka dapat keluar untuk menerima vaksin. KKM perlu memberikan kepada kami semua jadual pemvaksinan lebih awal agar kami membuat persiapan sewajarnya’’, tegasnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas komitmen pihak KKM khasnya di daerah Beluran yang begitu komited menjalankan tugas memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk dikawasannya.