Abidin meninjau kawasan di kampung itu yang memerlukan pembaikan
RANAU: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) tidak berdaftar dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana perlembagaan UMNO tidak membenarkan mereka daripada mendaftar secara rasmi dalam kesatuan dengan gabungan lain..
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, bagaimanapun di Sabah, Umno bekerjasama dengan GRS untuk pentadbiran negeri Sabah.
“Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor, peranan rakan kerja adalah penting kerana walaupun Umno tidak disenaraikan sebagai ahli GRS, tetapi mereka berkongsi tanggungjawab yang sama dalam pembangunan negeri,” katanya.
Abidin yang juga Adun Paginatan merangkap Ketua Bahagian Parti Solidriti Tanahairku (Star) Paginatan, memuji usaha semua pemimpin dalam kerajaan GRS kerana berjaya mendaftarkan gabungan itu sebagai entiti parti baru-baru ini.
Dalam GRS terdapat beberapa parti antaranya Parti Bersatu (PPBM), Star, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Maju Sabah (SAPP). Kesemua mereka adalah komponen dalam parti GRS.
“Kita tidak mahu ada pertikaian lagi, tetapi manfaatkan perpaduan kita untuk membina semula ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat wabak Covid 19 yang masih enggan pergi buat selama-lamanya.
“Harapan kami ialah dengan pendaftaran GRS, akan ada kestabilan dalam politik di Sabah. Itu matlamat kita, iaitu untuk menaikkan kembali ekonomi Sabah,” katanya dalam program bersama penyokong di Kg Mindohuon Baru, Ranau baru-baru ini.
Sebelum program itu, Abidin meninjau sebahagian jalan menuju ke balai raya kampung di mana longkang dan pembetungnya sangat memerlukan pembaikan serta dinaik taraf.
Seperti yang diminta ketua masyarakat di sini, beliau meluluskan peruntukan untuk membaiki longkang dan pembentung yang rosak serta peruntukan kerusi plastik untuk balai raya kampung.
Turut hadir ialah Koordinator merangkap Setiausaha Star Paginatan, Juis Konsuling, Penolong Setiausaha, CDO Japili Sigal, Ketua Wiranata Paginatan STAR Winek Yuni, Timbalan Wiramuda Star Paginatan, Hillary Ensil, Ketua PDM Kandawayon, Albert Ugau, antara lain.