25 C
Kota Kinabalu
Selasa, November 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Perkhidmatan Transfusi Negeri Alami Defisit 14,000 Beg Darah

Ahsim (tiga dari kanan) ketika melawat tempat menderma darah dalam program tersebut.

KOTA KINABALU:   Perkhidmatan transfusi Negeri Sabah mengalami defisit 14,000 beg darah memandangkan kadar penggunaan yang tinggi di negeri ini.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, DatukTs. Mustapha Sakmud berkata hospital memerlukan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi kerana Sabah mempunyai penghidap Talasemia major tertinggi di Malaysia dengan jumlah 1,800 pesakit.

“Secara purata, 2,000 hingga 2,200 beg darah diperlukan di seluruh Malaysia untuk kegunaan 1,000 orang pesakit setiap hari. 

“Manakala, untuk Sabah pada tahun lepas 110,000 unit darah telah diberikan kepada pesakit berbanding 76,000 ribu unit yang telah dikumpulkan. 

“Perkhidmatan transfusi negeri ini terpaksa meminta ehsan dari negeri lain untuk mengisi defisit sebanyak 14,000 beg darah. 

“Justeru, pendermaan secara berterusan adalah perlu untuk memastikan simpanan stok darah semasa mencukupi dan selamat. Ini kerana jangka hayat darah yang pendek iaitu 42 hari untuk darah merah dan 5 hari untuk platelet,” jelasnya.

Menurut beliau, ketika ini, kira-kira 2.3 peratus jumlah penduduk di Malaysia adalah penderma darah. Namun, angka tersebut jauh lebih rendah dari standard antarabangsa iaitu 5 peratus, sementara sasaran menjelang 2030 ditingkatkan kepada 3.5 peratus. 

“Kumpulan penderma darah yang kecil akan semakin berkurangan disebabkan peningkatan usia dan faktor-faktor lain sekiranya tiada penglibatan yang lebih dari masyarakat. 

“Oleh itu, pihak hospital mensasarkan golongan muda (berumur 17 hingga 24 tahun) sebagai pelapis penderma darah baharu,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat HWKKS bagi Tahun 2024 di sini, pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Manusia Malaysia.

Jelas beliau, Tema Hari Penderma Darah Sedunia pada tahun ini adalah “Meraikan Sambutan Ke-20 Hari Penderma Darah Sedunia: Terima kasih, penderma darah!” atau “20 Years of Celebrating Giving: Thank You, Blood Donors”. 

Fokus utama tema Hari Penderma Darah tahun ini adalah memberi penghargaan kepada penderma darah dan penganjur kempen derma darah atas usaha, komitmen dan pengorbanan masa dan tenaga mereka selama ini dalam membantu menyelamatkan nyawa pesakit.

Dalam majlis berkenaan, Ahsim menyampaikan beberapa anugerah kepada para pemenang iaitu Anugerah Darah Tertinggi (Kategori Darah Tertinggi), Anugerah Penderma Darah Apheresis Terbaik (Kategori Baru), Anugerah Penganjur Kempen Terbaik, Anugerah Penghargaan kepada Penyumbang (Sponsor) dan Penghargaan Jawatankuasa Pengelola Bersama.

Hadir sama, Pengarah HWKKS, Marcus Netto; Ketua Unit Perubatan Transfusi HWKKS, Dr Jamaludin Mail; Ketua Jabatan Patologi dan Perubatan Transfusi HWKKS, Dr Kimberly Fe Joibi; Pengarah Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth ll, Dr Shahnaz Irwani Chung; Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah, Datuk Asnan Yunus Chung dan Regions Chairperson Lions Clubs International, Fiona Chin.-PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN