KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Negeri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, hari ini mengadakan kunjungan kerja ke Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) bagi meninjau pelaksanaan inisiatif sedia ada serta membincangkan hala tuju pembangunan industri di kawasan berkenaan.
Dalam lawatan itu, beliau diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif KKIP, Datuk Lawrence Kimkuan, berhubung perkembangan terkini dan usaha yang sedang dilaksanakan bagi memperkukuh peranan kawasan perindustrian terbesar di Sabah itu.
Ewon berkata, selain memahami inisiatif yang sedang berjalan, beliau turut berkongsi wawasan serta cadangan inisiatif baharu yang boleh diterokai bagi meningkatkan daya saing KKIP dan menarik lebih banyak pelaburan strategik.
“Saya amat yakin KKIP akan terus menyumbang kepada pembangunan rakyat Sabah yang berpendapatan serta memperkasakan ekosistem pelaburan dan keusahawanan di negeri ini,” katanya dalam satu hantaran di Ewon Benedick Official Media,
Beliau turut menyatakan harapan agar pasukan Sabah First di KKIP terus diperkasakan supaya mampu memberikan perkhidmatan berkualiti kepada semua pemegang taruh.



