Rusdin (tengah) ketika memotong kek sempena perasmian Perayaan Paskah Zon Paginatan
RANAU: Semangat perpaduan, saling menghormati serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kepercayaan terus menjadi asas penting dalam mengekalkan kesejahteraan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan, Datuk Rusdin Riman berkata, nilai-nilai tersebut perlu terus dipupuk agar rakyat kekal bersatu walaupun berbeza anutan dan kepercayaan.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah berkata demikian ketika merasmikan Perayaan Paskah Zon Paginatan 2026 di Gereja St. Peter The Apostle, Kampung Paginatan, di sini hari ini.
“Perayaan seperti ini bukan sahaja membawa makna keagamaan, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Komuniti Gereja Kampung Paginatan, Janalin Gombiong, berkata penganjuran majlis berkenaan bertujuan mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, sambutan itu turut disertai pelbagai lapisan masyarakat Kampung Paginatan dalam suasana meriah dan penuh harmoni.
Perayaan Paskah Zon Paginatan 2026 yang berlangsung pada Ahad itu bermula seawal 10.30 pagi di Gereja dan Dewan St. Peter The Apostle.



