Datuk Abidin (tengah) memegang padi yang dikatakan mempunyai semangat padi yang disebut ‘Bambarayon’
PERAYAAN Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) terhadap ‘Pencipta’ dan isterinya ’Suminundu’ yang sanggup mengorbankan anak kesayangan mereka ‘Huminodun’ untuk menyelamatkan orang-orang KDMR supaya tidak mati kebuluran.
Pengorbanan ‘Huminodun’ yang kemudian dikatakan mayatnya mengeluarkan berjenis-jenis tumbuhan antaranya ‘padi’ yang menjadi makanan KDMR hingga sekarang.
Manakala ‘Bambarayon’ menurut kepercayaan KDMR merupakan ‘semangat padi’ yang dikatakan perlu dijaga dan dilayan dengan baik untuk menjamin hasil tuaian memuaskan dalam setiap tahun penanaman.
Zaman ini, Sambutan Kaamatan bukan lagi setakat bertujuan menghargai dan menghormati Huminodun dan Bambarayon tetapi lebih penting adalah Perayaan Kaamatan dijadikan wadah bagi mengukuhkan lagi ikatan persahabatan, kekeluargaan, kesejahteraan rakyat pelbagai kaum, etnik dan budaya di negeri ini.
Apabila dikaitkan dengan konsep Sabah Maju Jaya, Huruf ‘M’ itu sendiri menjurus kepada elemen Modal Insan & Kesejateraan Rakyat. Sabah mencatat lebih 30 suku kaum yang selama ini hidup rukun terbina antara lain melalui perayaan-perayaan seperti Perayaan Kaamatan. Kesejahteraan kaum yang telah terjalin sekian lama ini wajar dijadikan contoh kerana menepati aspirasi utama slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang bertujuan antara lain menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.
Baru-baru ini di DUN Paginatan, menurut Yasiri Bijin (Pemaju Mukim Paus-Paginatan) kehadiran orang ramai sempena sambutan Perayaan Kaamatan Peringkat Mukim tersebut mencecah lebih 600 orang dan angka ini adalah yang tertinggi berbanding pesta Kaamatan di tempat-tempat lain di kawasan DUN ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pelaksana sambutan tersebut menyatakan rasa kagumnya dengan kehadiran yang luar biasa itu.

Paluan gong, gimik persamian dan simbol penghormatan Huminodun dan Bambarayon
“Kehadiran orang ramai di luar jangka kami dan kami begitu bersyukur kerana tujuan utama program kita antara lain mempersatukan penduduk di semua kampung dalam Mukim Paus-Paginatan di samping kehadiran dari luar yang kami alu-alukan sangat berjaya,” katanya.
Majlis Sambutan Perayaan Kaamatan Peringkat Mukim Paus-Paginatan tersebut telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Abidin Madingkir.
Menurut Penyelaras Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Mukim tersebut, Nurjana Abas, antara lain ucapan perasmi ketika itu ialah penekanan penting tentang pemupukan perpaduan kaum selain menghargai dan memperingati pengorbanan Huminodun dan kesyukuran Bambarayon (semangat padi) yang sentiasa memberikan pulangan hasil tuaian padi yang baik kepada masyarakat KDMR.
“Datuk Abidin mengajak semua kaum KDMR bersyukur kerana Perayaan Kaamatan masa kini semakin diterima oleh kaum lain. Di beberapa daerah lain ada yang merayakan Kaamatan ini di kalangan bukan orang KDMR yang mungkin kerana konsep perayaan itu sendiri berlandaskan kepada merapatkan silaturahim dan perpaduan,” katanya.
Datuk Abidin juga menyeru semua kaum meneruskan ikatan toleransi kaum yang telah sekian lama terjalin.
“Menurut Datuk Abidin, di negeri ini, semangat toleransi dan hormat menghormati antara penduduk pelbagai kaum begitu terserlah dan dikagumi pelancong asing dan tempatan. Semangat ini harus dikekalkan dan dipraktik selalu untuk warisan kepada generasi-generasi muda. Beliau juga menyeru kita menjadikan setiap pertemuan dalam Perayaan Kaamatan dijadikan medium saling bermaaf-maafan supaya ikatan persefahaman dan kesejahteraan kaum itu sentiasa terjalin dan terpelihara,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah wakil Pegawai Daerah, florensia padasian (ADO), Muhasip Hj Ruman (Ketua Daerah), Japli Sigal (CDO), Kong Soon Choi (Ketua Wiramuda STAR Sabah), Kenny Thomas (Pegawai Penerangan Ranau), Juis Konsuling (Setiausaha STAR Paginatan), para KAN, WKAN, Pengerusi JPKK dan Ketua Kampung.