Gambar kenangan bersama YB Datuk Flovia Ng bersama pengarah JHEWA, Hajah Haslina Ismail, isteri kepada ADUN N8 Pintasan, YBhg. Datin Noor Liyana Abd Latiff, isteri kepada ADUN N9 Tempasuk, YBhg Datin Sarina Mohd Yaakub serta urusetia Program Outreach Santuni Wanita anjuran JHEWA
KOTA BELUD: Rakyat, khususnya wanita di Negeri Sabah amat bertuah kerana kerajaan mengiktiraf peranan penting wanita dalam semua jenis aktiviti, kata Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Bin Ratib.
“Peluang yang sama rata merupakan kunci kemajuan wanita dalam mana-mana bidang. Justeru, wanita perlu mengambil peluang-peluang yang telah disediakan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Outreach Santuni Wanita peringkat N8 Pintasan, N9 Tempasuk, N10 Usukan Dan N11 Kadamaian di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak pada hari Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Datuk Flovia Ng, Pembantu Menteri KPMKR, yang mewakili YB Menteri.
Program yang bertemakan “Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita” itu merupakan anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah.
James merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur yang terdiri dari JHEWA, Pejabat Daerah Kota Belud, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N8 Pintasan, N9 Tempasuk, N10 Usukan dan N11 Kadamaian.
“Sekalung tahniah dan syabas kepada penganjur serta urusetia kerana berjaya mengumpulkan seramai hampir 400 peserta untuk program yang terdiri daripada penjawat awam, pemimpin akar umbi, JPKK, wanita, masyarakat setempat, belia,dan remaja.
“Program ini merupakan kesinambungan flagship atau inisiatif baharu projek berimpak tinggi sektor modal insan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan hala tuju KPMKR bagi tahun 2021 hingga 2025 di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Tujuan utama program ini diadakan adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai pekhidmatan yang dibawakan khas daripada jabatan kerajaan seperti jabatan hal ehwal wanita sabah serta agensi-agensi yang terlibat di kawasan DUN yang dianjurkan,” kata beliau.
Menurut beliau, sejak dari November 2021, program yang telah dijalankan secara kerjasama bersama rakan strategik telahpun menjadi wadah penyampaian perkhidmatan serta perkongsian ilmu yang sangat efektif dalam usaha JHEWA Sabah khususnya, untuk memperkasakan golongan wanita serta masyarakat secara amnya agar terus relevan dan menepati keperluan semasa.
Tambah beliau lagi, sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Negeri terhadap kelestarian wanita serta masyarakat di Negeri Sabah, pada hari ini program Outreach Santuni Wanita telahpun melakar sejarah buat julung kalinya ia diadakan di daerah Kota Belud.
“Penglibatan dari empat kawasan DUN di sini harus diberi pujian terutamanya pihak UPPM, pemimpin akar umbi serta semua jentera pengerak masyarakat di kawasan terbabit kerana berjaya menghimpun sekaligus membawa program yang bermanfaat sebegini kepada masyarakat di kawasan anda.
“Untuk makluman, program ini sangat signifikan dan sepanjang tempoh program ini berlangsung, JHEWA Sabah telah pun menyantuni hampir 2,653 orang di 38 kawasan DUN.
“Saya berasa berbesar hati atas inisiatif pihak JHEWA yang telah berkerja keras demi memastikan kelangsungan program kemasyarakatan sebegini baik dalam aspek keusahawanan, pembangunan kewanitaan serta perundangan,” kata beliau.
Sementara itu, James yang juga Adun Sugut berkata, program ini adalah antara usaha kerajaan dalam membendung masalah ini dari terus menyelubungi masyarakat sambil memberi pencerahan ilmiah atau bantuan khidmat nasihat perundangan menerusi klinik guaman serta slot literasi perundangan.
“Sebagai contoh perkhidmatan Pusat Bantuan Guaman Wanita Sabah (PBGW) yang diselia oleh JHEWA Sabah merupakan pusat yang memberi bantuan peguam secara percuma di mahkamah syariah, sivil dan anak negeri terutamanya yang melibatkan kes kekeluargaan.
“Seterusnya program ini turut menyajikan isu-isu kretis serta perlu diberi perhatian antaranya isu penyalahgunaan dadah serta perkahwinan di awal usia yang kian membimbangkan,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa masyarakat perlu diberi penekanan mengenai isu pendidikan terutamanya undang-undang kerana melalui pendidikan sahaja mampu memperkasakan masyarakat terutama sekali golongan wanita.
“Berpaksikan perkara ini, saya turut mengharapkan agar semua pihak terutamanya JHEWA serta seluruh agensi kerajaan negeri agar terus mengembleng tenaga dan tetap giat melaksanakan program kemasyarakatan seperti program kita hari ini,” jelas beliau.