ADVERTISEMENTspot_img

Penyelarasan biasiswa perlu diperkukuh, Borneonisasi perkhidmatan awam dipertingkat: Ewon

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah disaran memperkukuh penyelarasan pemberian biasiswa serta mempertingkat pelaksanaan dasar Borneonisasi dalam perkhidmatan awam bagi memastikan lebih ramai anak tempatan Sabah mendapat peluang pendidikan dan kepimpinan dalam pentadbiran Persekutuan.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata penyelarasan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Persekutuan dengan JPA Sabah perlu dipertingkatkan supaya peluang menerima biasiswa dan tajaan pendidikan tidak hanya tertumpu kepada pelajar yang memperoleh keputusan akademik cemerlang.

Sebaliknya, katanya, pelajar yang mendapat keputusan sederhana tetapi berasal daripada keluarga berpendapatan rendah juga perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyentuh peruntukan RM1.07 bilion bagi Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran JPA untuk 2027.

Ewon turut menghargai pengumuman Belanjawan 2027 yang menggandakan tawaran tajaan JPA kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, sekali gus memberi peluang kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri itu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.

Katanya, Kerajaan Sabah juga menyediakan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan tahunan yang kini mencecah RM155 juta.

“Justeru, saya mencadangkan agar penyelarasan yang lebih baik antara JPA Persekutuan dengan JPA Sabah dilaksanakan supaya bukan hanya pelajar cemerlang mendapat biasiswa dan tajaan, tetapi juga pelajar yang mendapat keputusan sederhana daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut menggesa supaya dasar Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dipertingkatkan secara berterusan selaras dengan semangat MA63.

Beliau berkata pelaksanaan dasar itu tidak seharusnya terhad kepada pengambilan kakitangan, sebaliknya turut merangkumi pelantikan anak tempatan Sabah sebagai ketua-ketua jabatan Persekutuan di negeri itu.

Beliau turut meminta pengesahan mengenai jumlah dan peratusan pengambilan anak tempatan Sabah berbanding keseluruhan perjawatan awam Persekutuan di negeri berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan ketika menyentuh peruntukan RM2.736 juta kepada Urus Setia Cawangan Sabah, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), bagi menguruskan hal ehwal pengambilan dan perkhidmatan calon serta pegawai Perkhidmatan Awam Am Persekutuan di Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN