KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib memberi amaran bahawa pekerja ladang asing tanpa izin mungkin menyemarakkan penggunaan methamphetamine di kawasan luar bandar.
Kegiatan ini, katanya, amat berpotensi mempengaruhi penduduk tempatan untuk terjerumus sama ke lembah penyalahgunaan dadah.
“Kalau kita lihat data daripada pihak AADK, memang kita nampak hal berkaitan penyalahgunaan dadah ini tidak begitu membimbangkan.
“Tetapi kita dapati, ia juga melibatkan tenaga buruh warga asing yang bekerja di estet-estet, di mana mereka menggunakan dadah untuk meningkatkan hasil pengeluaran kelapa sawit.
“Kebanyakan tauke-tauke estet adalah dari Senenanjung, manakala pekerja pula daripada negara jiran seperti Filipina dan Indonesia yang mana kebanyakannya tiada dokumen yang sah,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan tauke pula mahukan produksi estet mereka meningkat, dan ini akan menjerumuskan penduduk tempatan yang juga bekerja di estet yang sama.
Tambah beliau, masalah tersebut kemudiannya akan merebak ke kampung-kampung lain, dan ini memberikan kekhuatiran kepada pihak berkuasa.
“Isunya di sini ialah, bagaimana kita mengawal ladang-ladang yang mengambil warga asing supaya semua pekerja dipastikan tidak mengambil dadah.
“Justeru kita minta kepada pihak berkuasa yang berkenaan supaya dapat masuk ke estet-estet untuk memeriksa semua pekerja tanpa mengira status sah atu tidak.
“Kita juga meminta kepada syarikat-syarikat estet berkenaan supaya mengambil Langkah agar aktiviti penyalahgunaan dadah dapat dikawal di tempat mereka,” katanya.
Tambah James, ini perlu diambil tindakan memandangkan ia memberi masalah yang besar terutama sekali kepada kampung-kampung yang berhampiran estet-estet kelapa sawit.
Bercakap kepada media selepas sesi Ramah Mesra, beliau menggesa pemeriksaan berkala, pengesahan pekerja yang lebih baik, lebih banyak kemudahan AADK, dan pembiayaan tahunan RM100,000 setiap daerah untuk program pencegahan.
Beliau menekankan keperluan untuk infrastruktur yang betul dan pendekatan gabungan penguatkuasaan, jangkauan dan sokongan keluarga untuk membendung penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, James meminta Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDM) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Bin Nasarah agar memberikan perhatian khusus terhadap pembangunan infrastruktur AADK di negeri ini dan melengkapkan keperluan-keperluan yang diperlukan oleh agensi tersebut.
“Kita mahukan semua pegawai dan kakitangan AADK dapat bertugas dengan selesa supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Kalau mereka ini pun menumpang, tiada ketentuan, bagaimana mahu menjalankan tugas? Kita harap KDN dapat membina bangunan-bangunan baru,” katanaya.
Beliau turut meminta agar dibangunkan pusat-pusat tahanan sementara terutama di kawasan-kawasan yang jauh memandangkan kini pusat-pusat tersebut hanya terdapat di bandar-bandar sahaja.
“Sedangkan paling ramai penagih di estet-estet adalah terletak di kawasan luar bandar. Kalau boleh buatlah pusat-pusat di daerah-daerah, dan tempatkan lebih ramai pegawai dan kakitangan yang mencukupi,” katanya.



