PENJUAL ROKOK SELUDUP DALAM KALANGAN WARGA ASING, BILA AKAN BERAKHIR?

PENJUAL ROKOK SELUDUP DALAM KALANGAN WARGA ASING, BILA AKAN BERAKHIR?

27/11/2019 0 By ADUKA JASNIN SUMAN

KUPI–KUPI BERSAMA: Aduka Jasnin Suman

MUNGKIN ada yang menganggap isu yang saya kongsikan ini sudah lapuk serta melihatnya dari dua sudut pro & kontra. Namun hakikatnya, jika tidak dibendung serta ditangani secara efisyen , ia akan memberi kesan mudarat /tautologis serta menjadi mimpi ngeri kepada generasi akan datang.

Gambar hiasan

Penjual rokok disyaki seludup dalam kalangan warga asing dari negara jiran dihampir semua daerah di negeri ini, khususnya di Pekan Ranau, semakin bermaharajalela tanpa ada rasa risau dan takut dengan mana-mana pihak, mahupun pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis, Kastam dan Imigresen.

Mereka yang meneguk rezeki di tanah besar Sabah, bebas menjual rokok seludup pelbagai jenama kepada orang awam dari pelbagai peringkat umur di tempat terbuka. Gelagat mereka dalam berurusniaga turut diperhatikan ribuan mata pelbagai lapisan dan generasi setiap hari.

Modus operandi mereka sangat jelas, rata-rata mereka berada di tempat-tempat strategi seperti di kakilima kedai dengan beg sandang ataupun bakul plastik sambil menunggu kelibat pelanggan yang biasanya memberhentikan kenderaan berhampiran mereka berada sambil memberi isyarat, dan dengan selamba urusniaga berjalan lancar, pelanggan hulur duit, penjual hulur rokok.

Adakah mereka ini dilindungi pihak-pihak tertentu dengan habuan-habuan menarik serta lumayan, sehinggakan mereka kelihatan kebal tanpa ada sebarang tindakan konkrit ke atas mereka?, wallahulalam. Kalaupun ada operasi, barangkali umpama menyambut harijadi yang dirai setahun sekali.. Kan bagus kalau hari-hari harijadi..

Dari sudut Prosedur Operasi Standard (SOP), mungkin pihak berkuasa berkenaan ada alasan-alasan tertentu untuk lepas tangan sambil tuding-menuding jari.

Gambar hiasan

Mengambil contoh, Penguatkuasa PBT, mungkin mereka ada alasan untuk tidak memberkas penjual rokok seludup berkenaan, kerana mereka tidak membuka premis atau duduk di kakilima kedai sambil mempamerkan bahan jualan. Tidak seperti makcik-makcik yang duduk sambil menjual makanan ringan tradisi seperti sireh, kapur, pinang dan sebagainya yang dilihat menggangu laluan orang ramai selain dianggap mencacatkan pemandangan.

Jika dirujuk kepada Imigresen, rata-rata mereka ini memiliki dokumen pengenalan diri seperti Passport, IMM13, malah sebahagian dari mereka sudah memiliki MyKad dengan taraf Warganegara Malaysia..

Pihak Polis pulak, mungkin melihat mereka ini dari sudut kesalahan-kesalahan jenayah seperti keterlibatan mereka dengan Dadah, pergaduhan, keganasan dan lain-lain kes di bawah bidang kuasa polis.

Apa yang jelas, rokok yang mereka jual ini dipercayai seludup. Dari mana bekalan ini datang setiap masa, siapa dalangnya, tiada yang tahu, atau pura-pura tidak tahu. Bagaimanapun, perkataan seludup dan menyeludup sinonim dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,

Dahulu, bilangan mereka yang menjual rokok seludup ini boleh dihitung dengan jari. Kini jumlah mereka semakin bertambah malah mungkin sudah membina empayar tanpa kita sedari.

Selain kesedaran orang kita warga tempatan agar tidak menyokong sekali gus memboikot kegaiatan atau perniagaan mereka ini dengan tidak membeli rokok daripada mereka, Adakah usaha-usaha bersepadu atau inisiatif yang lebih konkrit dan berkesan daripada pihak PBT, pihak berkuasa yang lain termasuk pemimpin tempatan untuk menghapuskan secara total penjual rokok seludup di setiap daerah, terutama di bumi Ranau.

Pantun lama jangan diabaikan sehingga ia berpaling maksud..Kalau dulu bunyinya indah…

“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”

Jangan sampai bunyinya sumbang…

“Berenang-renang ke hulu , biarkan rakit mencari tepian. Bersenang-senang dahulu, baru sakit kemudian”.