RANAU: Seorang penjawat awam di sini mengalami kerugian lebih RM316,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam pada 4 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Simiun Lomudin (gambar) berkata, mangsa lelaki berusia 41 itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurutnya, lelaki itu memaklumkan mangsa mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM18,000 dan perlu diselesaikan segera untuk mengelakkan mangsa diistihar muflis.
“Mangsa telah menafikan mempunyai tunggakan cukai berkenaan tetapi mangsa kemudian disambungkan ke talian kononnya Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuantan dan mangsa terkejut apabila dikatakan terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dan pengubahan wang haram.
“Sindiket kemudian menyatakan butir-butir mangsa mungkin telah disalahgunakan oleh orang lain dan mengarahkan mangsa memberikan maklumat perbankan kepada sindiket bagi tujuan siasatan dan semakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut DSP Simiun, sindiket kemudian memberikan kepada mangsa satu link Bank Negara Malaysia (BNM) (www.bnm.com) untuk disi semua maklumat bank milik pengadu (mangsa).
Katanya, selang beberapa hari kemudian mangsa mendapati sebanyak 17 transaksi pindahan telah dibuat melibatkan wang berjumlah RM316,150 daripada akaun miliknya ke akaun individu lain.
“Mangsa kemudian datang ke Balai Polis Ranau untuk membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan atas talian yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan memperdayakan ramai mangsa.
“Kejadian ini merupakan kes kedua dilaporkan di daerah Ranau dalam tahun 2022 dengan menggunakan modus operandi yang sama.
“Kes pertama telah berlaku pada awal tahun ini juga melibatkan penjawat awam yang mengalami kerugian berjumlah RM557,000,” jelas beliau.
Ekoran kejadian ini, beliau menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan sekiranya tidak pasti atau mengesyaki terdapat unsur penipuan dalam sebarang dakwaan kes jenayah bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Beliau menegaskan hal berkaitan percukaian tidak akan dibincangkan melalui panggilan telefon peribadi, sebaliknya sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau emel rasmi LHDN di @hasil.gov.my
Tambah beliau, selain Macau Scam pelbagai lagi modus operandi penipuan
lain seperti jual beli kenderan dan pinjaman tidak wujud berlaku di daerah ini yang mana kebanyakan kes melibatkan mangsa penjawat awam.