Harun dan lain-lain dalam Majlis Mobile Exhibition di Perpustakaan Ranau pada hari Selasa
RANAU: Data Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan kadar enrolmen pelajar dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) telah meningkat kepada 51.05% pada tahun 2024, berbanding 39.48% pada tahun 2023.
Namun begitu, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Harun Bin Durabi berkata, apa yang membimbangkan ialah peratusan pelajar yang memilih aliran sains tulen masih rendah iaitu kurang daripada 11% sahaja.
“Peningkatan ini adalah satu petanda positif hasil daripada usaha bersepadu pelbagai pihak dalam mempromosikan STEM secara lebih kreatif, inklusif dan berkesan.
“Namun peratusan rendah pelajar sains menunjukkan perlunya lebih banyak program yang memberi pendedahan awal dan menarik minat pelajar terhadap subjek-subjek STEM, terutama di peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya.
Menurut beliau, laporan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menunjukkan bahawa menjelang tahun 2030, dijangka akan berlaku perubahan ketara dalam pasaran pekerjaan.
“Jangkaan menunjukkan bahawa sebanyak 89 juta pekerjaan sedia ada akan hilang, dan 69 juta pekerjaan baharu yang berkaitan dengan bidang STI/ STEM akan diwujudkan.
“Ini jelas menunjukkan bahawa penguasaan dalam bidang STEM bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak bagi memastikan anak-anak kita kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Di peringkat negeri Sabah, Harun berkata, usaha memperkasa ekosistem STIE (Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi) telah dilaksanakan secara berstruktur melalui Pelan Strategik KSTI 2022–2025.
Katanya, tiga teras utama pelan ini adalah pembudayaan STI, transformasi digital, dan pembangunan modal insan yang menjadi tunjang kepada pelbagai inisiatif yang sedang dijalankan.
“KSTI turut menjalinkan kerjasama pintar dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakan strategik dari dalam dan luar negara bagi memastikan agenda pembangunan teknologi di Sabah dapat terus diperkasakan,” katanya.
Harun yang juga merupakan ADUN Bengkoka berkata demikian semasa merasmikan Majlis Mobile Exhibition “Experience Science: Enlighten Innovation” Tour In Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Ranau pada hari Selasa.
Pameran tersebut merupakan sebahagian daripada siri jelajah pendidikan interaktif bukan formal anjuran KSTI, yang bertujuan memperluaskan akses pembelajaran dalam bidang STEM secara langsung kepada masyarakat akar umbi.
Program ini bukan sekadar pameran, tetapi sebuah platform pembelajaran interaktif yang memberi peluang kepada pelajar dan masyarakat untuk merasai pengalaman sains secara interaktif, menyeronokkan dan mudah difahami.
Pameran bergerak bertemakan “Experiencing Science: Enlightening Innovation” ini merupakan hasil kerjasama antarabangsa antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Republik Rakyat China melalui Guangxi Science and Technology Museum.
Memorandum Persefahaman (MoA) yang ditandatangani pada 11 Julai 2023 di Beijing, telah membolehkan Sabah menerima 61 bahan pameran bertemakan sains dan inovasi untuk dipamerkan secara bergilir selama tiga tahun.
Pameran bergerak seperti ini adalah antara contoh terbaik pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang mampu mencetuskan minat, rasa ingin tahu serta kreativiti dalam kalangan pelajar.
“Ini adalah satu langkah besar dalam membawa pendidikan sains bertaraf antarabangsa ke negeri Sabah. Usaha ini selari dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pendidikan STEM.
“Ia membuka ruang kepada mereka untuk mengenal pasti potensi kerjaya dalam bidang STEM serta meningkatkan kefahaman terhadap peranan sains dalam kehidupan seharian,” katanya.
Harun merakamkan penghargaan kepada pihak KSTI selaku penganjur, serta Pejabat Daerah Ranau dan semua jabatan serta agensi yang telah bekerjasama memastikan kejayaan program tersebut.
“Komitmen dan usaha berterusan seperti ini amat penting dalam menyemarakkan budaya ilmu dan inovasi dalam kalangan masyarakat luar bandar,” jelas beliau.



