Oleh: Salwah Aramat
RANAU : Masyarakat Tionghua khususnya para pemilik premis perniagaan pekan di sini, disarankan agar terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan hingga 14 April ini bagi mengekang penularan COVID-19.
Presiden Persatuan Hakka yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Ranau, Datuk Jimmy Tham Yuk Liong (gambar) ketika dihubungi mengharapkan PKP ini dipatuhi khususnya rakan-rakan peniaga dalam kalangan Tionghua yang mempunyai premis di pekan Ranau, Kiaburi Plaza dan pekan Kundasang.
Katanya perintah tersebut antara lain menuntut premis perniagaan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barang-barang keperluan harian termasuk restoran yang hanya dibenarkan menyediakan makanan bungkus untuk dibawa balik “take away”.
“Golongan peniaga perlu memainkan peranan dan bersatu memerangi Covid-19 dengan mematuhi perintah tersebut bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak.
“Penularan wabak maut ini hendaklah ditangani bersama dan tanggungjawab itu bukan hanya di pihak kerajaan malah semua lapisan masyarakat termasuk para peniaga mempunyai peranan masing-masing dengan cara duduk diam di rumah ‘Stay at Home’ bersama keluarga.
Jimmy turut menggesa seluruh masyarakat tionghua di daerah ini, selain mematuhi PKP, amalan kebersihan diri dan seisi keluarga juga perlu diutamakan.
“Tangguhkan dahulu aktiviti luar termasuklah perniagaan tanpa terlalu memikirkan keuntungan semata-mata dan utamakan kebersihan diri kerana tiada guna kita banyak wang tetapi diri sendiri, keluarga dan orang lain terabai dari segi kesihatan”, Jelas Jimmy. -T A M A T-