WALKABOUT….Jonathan (Kiri) diiringi Saripuddin (Kanan), Datuk Amisah dan Syahrin.
RANAU: Para peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikan harga barang terutama barangan kawalan sepanjang Perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Timbalan Menteri II, Kementrian Dalam Negeri (KDN) yang juga Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin berkata, menaikkan harga barang kawalan seperti telur, gula, tepung dan sebagainya adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun jika sabit kesalahan.
“Justeru jangan menaikkan harga barang kawalan sesuka hati tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)”, jelas, Jonathan ketika ditemui selepas menjadi tetamu khas pada program “Walkabout” Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Sabindo Supermarket terletak 2 Kilometer dari pekan Ranau.
Program tersebut dianjurkan KPDNHEP Cawangan Tuaran itu juga sebagai antara langkah serta aktiviti bagi menyekat kenaikan harga barangan keperluan harian orang ramai selain memberi kesedaran dan bimbingan kepada awam khususnya para peniaga supaya sentiasa mematuhi piawaian harga barangan kawalan yang telah ditetapkan.
Antara 16 jenis barangan harga terkawal adalah kategori ayam, hasil Laut dan daging babi.
Hadir sama pada program tersebut ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah (Dilantik), merangkap Penaung Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat (WCAS), Datuk Amisah Yassin, Pegawai Daerah Ranau, Syahrin Bin Samsir, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau (MDR), Jupirin Bin Haji Ruhimin, Ketua Cawangan KPDNHEP Tuaran, Saripuddin Bin Moleng, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Asp. Helvin Ribus, para kakitangan KPDNHEP Tuaran, Pengurus Sabindo Supermarket, Kong Soon Choi, para anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Ranau dan Pegawai Penerangan (JaPen) daerah Ranau, Kenny Thomas.