Sokongan dan galakan……. Robert menunjukkan sayur-sayuran yang belinya di pasar malam Apin-Apin.
KENINGAU:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin menyarankan pihak Pengurusan Pasar Malam Pekan Apin-Apin dan penjaja, agar dapat memberikan kerjasama yang jitu kepada pihak Majlis Daerah Keningau untuk sentiasa menjaga kebersihan bagi memastikan persekitaran pasar malam sentiasa dalam keadaan bersih, selesa dan tidak berbau.
“Saya juga menyeru agar pihak pengurusan, penjaja serta pengunjung supaya dapat berganding bahu memastikan segala Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan dapat dipatuhi dengan baik bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dan mengelakkan daripada keluster baharu di Pasar Malam Pekan Apin-Apin ini” katanya semasa berucap merasmikan Pasar Malam Pekan Apin-Apin di Perkarangan Pentas Terbuka KDCA Pekan Apin-Apin pada Jumaat lepas.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, semoga dengan adanya Pasar Malam Pekan Apin-Apin ini akan dapat memenuhi keperluan orang ramai dan seterusnya mampu meningkatkan ekonomi penduduk setempat di kawasan ini.
Pada majlis itu Robert telah menyampaikan sumbangan sebanyak 100 buah kanopi untuk para penjaja Pasar Malam Apin-Apin sebagai usaha menyokong dan memberi keselesaan kepada para penjaja untuk berniaga.
Selain itu, sebagai tanda sokongan dan galakan kepada para penjaja, beliau juga sempat melawat dan membeli barangan dan produk jualan di Pasar Malam Apin-Apin.
Hadir sama pada majlis ini, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Junior Fred, Penguasa Perikanan Daerah Keningau, Harun Duin, Wakil Pegawai Pertanian Keningau, Puan Jupineh, Penolong Pegawai Daerah Keningau, Ahli Majlis Daerah Keningau, Ketua Anak Negeri, Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JPKK.