LABUAN: Seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 50an ditahan polis di sini kerana didapati melanggar perintah arahan kuarantin oleh Jabatan Kesihatan selepas didapati mengunjungi sebuah pejabat kerajaan bagi urusan peribadi.
Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata suspek yang juga merupakan Pengurus sebuah syarikat swasta di Sabah ditahan kira kira jam 7 malam bagi siasatan lanjut.
Farid berkata, pada 27 September lalu, suspek telah memasuki Labuan melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan telah mendapat arahan perintah kuarantin (ANNEX 14b) bermula 27 September hingga 10 Oktober 2020.
“Bagaimanapun setelah menjalani ujian saringan pada 29 September suspek berkenaan tidak mematuhi arahan kuarantin sebaliknya telah datang ke sebuah pejabat kerajaan bagi urusan peribadi dan setakat ini belum ada keputusan saringan dikeluarkan kepada suspek”, katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.
Selain itu suspek juga boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun jika sabit kesalahan pertama atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Pen yakit Berjangkit 1988.