RANAU: Seorang pengurus di sebuah pusat peranginan menjadi mangsa terbaharu penipuan sindiket Macau Scam di daerah ini apabila mengalami kerugian kira-kira RM444,600.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin (gambar) berkata, pada 6 April lelaki berusia 35 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘pegawai’ Lembaga Hasil Negeri (LHDN).
Menurutnya, pemanggil itu memaklumkan nama mangsa digunakan untuk membuka syarikat dan mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM26,000.
‘Mangsa menafikan mempunyai tunggakan cukai tetapi dia kemudiannya disambungkan ke talian dikatakan Pejabat Polis Kedah dan bercakap dengan seorang yang mendakwa anggota polis bernama Sarjan Tengku Iskandar.
“Mangsa terkejut apabila diberitahu namanya terdapat dalam senarai waran tangkap kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
“Dia kemudian disambungkan dengan pegawai atasan yang mendakwa boleh membatalkan waran tangkap itu, dan mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun yang disediakan untuk menyelesaikan kes itu,” katanya.
Simiun berkata, kemudian mangsa pergi ke sebuah bank tempatan di pekan Ranau untuk mengeluarkan sejumlah wang dan mendeposit semula wang melalui mesin deposit tunai secara berperingkat ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek.
Mangsa turut memindahkan wang dari akaun banknya beriumlah RM68,300 ke akaun suspek.
Katanya, selepas semua itu,barulah mangsa berasa curiga apabila diarah memasukkan sejumlah RM 216,000 lagi.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Ranau. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kes ini merupakan kes ketiga di daerah ini membabitkan modus operandi sama
dan melibatkan jumlah kerugian yang besar pada tahun ini.
“Ini menunjukkan Macau Scam adalah sindiket yang cukup licik dan sentiasa mencari peluang untuk memperdaya mangsa jika kita leka. Jenayah penipuan dalam talian seperti ini bukan sahaja menyasarkan golongan tertentu. Sebaliknya golongan profesional turut menjadi mangsa,” katanva.
Tambah Simiun, PDRM telah melakukan pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat berkaitan perkara itu.
Selain itu, beliau berkata polis akan sentiasa melipatgandakan usaha bagi mencegah kejadian ini berulang dan pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan mana-mana pihak yang mendakwa sebagai pegawai LHDN atau pegawai penguat kuasa yang berurusan melalui panggilan telefon.
“Masyarakat perlu tahu bahawa pihak penguatkuasa hanya akan menghubungi kamu untuk datang sendiri ke pejabat sekiranya kamu terlibat dengan sebarang kes siasatan,” kata Simiun.
Awal tahun ini pada januari, tiga kertas siasatan dibuka di IPD Ranau bagi kes berkaitan kerugian RM211,323 membabitkan Macau Scam.
Susulan itu, pada 4 Mac,seorang penjawat awam di sini mengalami kerugian lebih RM316,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.