Jonathan memerhatikan sambil Jainisah menyerahkan watikah kepada salah seorang penerima sempena program Kembara Merdeka Konvoi Jalur Gemilang di Dewan Terbuka Kompleks Persekutuan Daerah Ranau pada hari Khamis
RANAU: Sambutan Hari Kebangsaan tahun 2024 di daerah ini disemarakkan lagi dengan kehadiran berpuluh konvoi kenderaan dan motorsikal yang membawa Jalur Gemilang yang telah diraihkan di sini pada hari Khamis.
Hadir merasmikan majlis singkat sempena pelepasan Kembara Merdeka Konvoi Jalur Gemilang yang diadakan di Dewan Terbuka Kompleks Persekutuan Daerah Ranau ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
“Kita berkumpul pada hari yang bersejarah ini bagi merayakan menyemarakkan lagi program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 bagi daerah Ranau.
“Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan juga rakan strategik yang telah memilih Bangunan Persekutuan Daerah Ranau sebagai lokasi bagi perlaksanaan program tersebut pada kali ini.
“Saya mewakili seluruh masyarakat daerah ini merasa berbangga dengan penghormatan dan atas kehadiran semua rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan Agensi kerajaan, GLC serta pihak swasta,” katanya.
Menurut Jonathan, semua pihak terlibat berganding bahu dalam menyemarakkan semangat patriotisma yang bakal semua raihkan bersempena dengan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 yang bakal tiba.
Tahun ini, katanya, juga merupakan tahun yang istimewa khas buat rakyat Sabah kerana tahun ini adalah tahun pertama yang mana rakyat Sabah turut merayakan Hari Sabah selepas diwartakan pada 5 Jun yang lalu.
“Untuk rakan-rakan Sabahan semua, saya ingin kongsikan sedikit Perkara di mana pada 31 Ogos, ada pihak yang menjadikannya ia sebagai satu isu.
“Ada yang bertanya mengapa kita harus raihkan kemerdekaan pada 31 Ogos kerana ia adalah Hari Kemerdekaan bagi tanah semenanjung.
“Tapi sebenarnya pada tarikh yang sama pada tahun 1963, kita di Sabah meraihkan Hari Kemerdekaan Sabah dan ianya telah diraihkan di Kota Belud dan juga Kota Kinabalu dan Sandakan, justeru ia juga merupakan hari yang bersejarah bagi semua rakyat Sabah,” kata beliau.

Jonathan (tengah) dan lain-lain mengebarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah dalam majlis itu
Sehubungan dengan itu, Jonathan menambah bahawa, bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani, Jiwa Merdeka’, semangat patriotisma dan jati diri yang ditunjukkan oleh para pejuang kemerdekaan perlu terus rakyat warisi dalam aspek kehidupan sehingga kini.
“Dengan berpegang kepada tema sambutan kali ini, marilah sama-sama bertekad untuk memperkukuhkan lagi semangat kemerdekaan dalam setiap rakyat Malaysia, dalam kita membina sebuah negara yang bukan sahaja bebas dari segi fizikal tetapi juga bebas dari segi pemikiran, budaya dan ekonomi.
“Justeru, Kembara Merdeka Jalur Gemilang bukan sekadar menjadi acara tahunan tetapi juga menjadi symbol perpaduan, kebanggaan dan kesyukuran kita sebagai rakyat Malaysia.
“Biarlah program ini mengingatkan kita akan pengorbanan dan usaha para pahlawan yang telah berjuang demi kebebasan dan kemakmuran yang sedang kita kecapi hari ini,” katanya.
Jonathan turut menggalakkan semua masarakat di Ranau untuk turut serta dalam mengibarkan Jalur Gemilang, bertepatan dengan seruan Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.
“Ini memberikan peluang kepada semua kita untuk menunjukkan rasa cinta dan penghargaan kepada negara, dan ini bukan saja memeriahkan suasana Hari Kemerdekaan tetapi juga memperkukuhkan ikatasn sbeagai rakyat Malaysia.
“Ingatlah setiap langkah kecil yang telah kita ambil untuk menunjukkan cinta kepada negara, seperti mengibarkan Jalur Gemilang, akan memberikan impak yang besar kerana Malaysia adalah rumah kita, yang perlu kita jaga,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd. Noor, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggang, paa peserta Kembara Merdeka Konvoi Jalur Gemilang, Pegawai dan Kakitangan Pejabat Parlimen Ranau dan lain-lain.