GAMBAR: Noor Halim Datuk Zaini
LABUAN: Pengoperasian Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan alami penambahbaikan bagi keselesaan pengguna oleh pihak pengurusan baharu LDA Holding Sdn. Bhd. (LDAH).
Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holding Sdn. Bhd, Noor Halim Datuk Zaini (gambar) berkata, beberapa perubahan telah dilaksanakan dengan mengutamakan kepada keselamatan, keselesaan termasuk dalam urusan penjualan tiket yang lebih teratur dan mesra pelanggan serta bilangan pelayaran yang lebih kerap bagi memenuhi permintaan pengguna khususnya pada musim perayaan.
“Dengan perubahan dan penambaikkan ini diharapkan para pengunjung atau pelawat akan lebih gemar menggunakan pengangkutan laut menerusi Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di sini, kelmarin.
Beliau berkata, penambahbaikan ini mula dilaksanakan selepas pelantikan baharu Ahli Lembaga Pengarah LDA Holding yang dibuat baru-baru ini.
“Pihak kami telah berusaha dan berjaya menambah bilangan kekerapan bot laju penumpang dari Labuan ke Menumbok Labuan dan Sipitang semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melibatkan lebih 34,000 pengguna yang keluar dan masuk melalui Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan sekaligus telah dapat mengelakkan kesesakan yang melampau.
Noor Halim berkata, pihaknya juga akan berusaha terus dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik Terminal Feri Antarabangsa Labuan sejajar dengan citarasa pengguna dan keperluan semasa.