Shamsuddin ketika merasmikan kejohanan tersebut
RANAU: Penglibatan aktif dalam sebarang kegiatan sukan di daerah ini khasnya dan negeri amnya mampu memberikan impak positif terhadap kesihatan fizikal dan prestasi akademik seseorang pelajar.
Berucap merasmikan Kejohanan Sukan Olahraga Peringkat Sekolah Kebangsaan Karagasan, di padang sekolah tersebut baru-baru ini, Guru Besar sekolah berkenaan, Shamsuddin Salamun berkata pemilihan seseorang atlet itu antara lain sudah semestinya mempunyai ciri-ciri tubuh badan yang sihat di samping mempunyai mental yang kuat untuk mengikuti latihan-latihan sukan sebelum ke arena pertandingan sebenar.
Katanya walaupun seseorang pelajar itu mungkin lemah di dalam kelas, jika diberi peluang melibatkan diri dalam sebarang aktiviti luar, selain untuk kesihatan fizikal ia juga dapat membantu mengasah bakat dan potensi yang secara tidak langsung mampu meningkatkan kebolehan berfikir pelajar di luar situasi yang berbeza.
“Ilmu yang diberikan oleh guru semasa latihan sukan apabila dipraktikkan dengan baik semasa kejohanan menggambarkan sesorang pelajar itu telah berjaya dan sudah tentu pengalaman itu akan meningkatkan lagi proses berfikir pelajar dalam kelas seterusnya memberikan impak positif terhadap prestasi akademik pelajar tersebut,” katanya.
“Saya percaya para peserta sukan telah dilatih dengan baik dalam segala aspek bukan sahaja dari aspek kecergasan dan teknikal bersukan tetapi juga dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pedidikan Negara (FPN) yang menghendaki kita melahirkan insan yang seimbang dan berketrampilan. Merekalah yang bakal mencorakkan masa depan negara kita. Oleh yang demikian tidak salah sekiranya arena kejohanan olahraga ini juga kita jadikan sebagai salah satu pentas permulaan melatih mereka untuk mencapai keseimbangan ini,” jelas beliau.

Johan (Pasukan Merah) dan Naib Johan (Pasukan Biru)
“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang telah mengambil bahagian dalam kejohanan pada hari ini. Walaupun kejohanan olahraga ini bertujuan memilih peserta sebagai wakil sekolah ke sukan peringkat zon namun bagi saya, anda semua adalah pemenang dan cemerlang kerana menyertai aktiviti pada hari ini,” jelasnya.
Shamsuddin turut mengucapkan tahniah dan terimakasih kepada semua yang terlibat menjayakan kejohanan yang disifatkannya kali pertama baginya sebagai Guru Besar baharu di sekolah berkenaan.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah juga kepada semua yang terlibat merealisasikan kejohanan ini. Saya percaya kesanggupan dan komitmen yang tinggi daripada semua jurulatih dan guru rumah sukan memberi impak kepada kejohanan kali ini. Bagi saya, kekangan masa bukanlah alasan dan kekurangan infrastruktur bukanlah penghalang yang paling penting adalah kesungguhan dan ketabahan semua pihak dalam mengejar matlamat yang disasarkan,” jelasnya.

Pemenang Olahragawati, Olahragawan dan Johan Perbarisan, Pasukan Kuning
Dalam kejohanan itu, Pasukan Merah yang diketuai oleh Mohammad Qayyum Maik sebagai Pengurus Pasukan muncul johan apabila berjaya mengungguli kutipan keseluruhan pingat iaitu 7 emas, 8 perak dan 4 gangsa. Naib johan dimenangi oleh Pasukan Biru diketuai Farizah Parman dengan kutipan 6 Emas, 2 Perak dan 8 Gangsa. Tempat Ketiga Pasukan Kuning dengan kutipan 5 Emas, 8 Perak dan 7 Ganggsa. Pengurus Pasukan ialah Mohamad Ammar Aizat Abd Yaser.
Pemenang olahragawan dan olahragawati masing-masing dinobatkan kepada adik Mirroslev’lan Masinin (2 emas individu, 2 emas berkumpulan) dan Angel Mohd Ridun (2 emas individu, 2 emas berkumpulan). Manakala johan pertandingan perbarisan dimenangi oleh Pasukan Kuning, Naib Johan (Pasukan Merah) dan Tempat Ketiga (Pasukan Biru).
Turut bersama dalam kejohanan itu ialah Razli Jhamle (Penolong Kanan Kokurikulum), Muhamad Haziq Joe Bosco Matius (Penolong Kanan Pentadbiran), Saffrey Molius (Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid), Eddy (NYDP PIBG) dan penduduk-penduduk dari Kampung Karagasan, Kampung Kiwakau, Kampung Namaus, Kampung Tundangon, Kampung Mansalu dan Kampung Agan.



