SIMBOLIK…..Dr Ismuni (kiri) menerima peralatan perlindungan diri daripada Abdul Rauf
LABUAN: Pusat Koreksional Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menyiapkan 200 set kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Pengarah Pusat Koreksional Labuan, Penolong Komisioner Penjara, Abdul Rauf Pasih seramai 25 penghuni di pusat itu telah berjaya menyiapkan 200 set PPE yang melibatkan penyediaan baju (gown), penutup kepala dan kasut.
Beliau berkata, penghasilan keperluan PPE itu merupakan kolaborasi antara Pusat Koreksional Labuan dengan Jabatan Kesihatan bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan jabatan itu yang sedang berkorban nyawa untuk mmemutuskan rantaian COVID 19 di pulau ini.
“Penghasilan keperluan PPE ini merupakan program kolaborasi antara Pusat Koreksional Labuan dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan sebanyak 500 set lagi akan disiapkan dalam waktu terdekat dimana Jabatan Kesihatan membekalkan kain dan penghuni Pusat Koreksional akan menjahit dan menyiapkan peralatan tersebut” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan PPE kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari yang diadakan di Pusat Koreksional Labuan, pada Khamis.
Abdul Rauf berkata, sebelum ini Jabatan Kesihatan Labuan telah membantu Pusat Koreksional Labuan dengan memberi latihan teknikal berkaitan proses nyah kuman COVID 19.
Sementara itu, Dr Ismuni merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Pusat Koreksional Labuan yang melakukan inisiatif untuk menyediakan dan membekalkan kelengkapan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Labuan.
“Kita berterima kasih atas usaha murni Pusat Koreksional Labuan membekalkan keperluan PPE yang sangat diperlukan oleh barisan hadapan Jabatan Kesihatan sekaligus dapat mengelakkan daripada terputus bekalan” katanya. TAMAT.