25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Penghuni Puncak Gloxinia Kondominium desak pihak berwajib, selesaikan isu gangguan bekalan air

PAPAR: Penghuni Puncak Gloxinia Kondominium mendesak agar Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pihak pengurusan perumahan segera menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang telah berlarutan sekian lama.

Helvin Ribus, yang juga merupakan kakitangan awam berkata, isu gangguan air di kondominium itu telah sekian lama berlaku namun tiada penyelesaian berkesan dari kedua belah pihak.

“Selesaikan segera isu yang menyusahkan penduduk ini. Bukan setakat seminggu berlaku, malah bertahun dan sehingga kini tiada penyelesaian”. Tegasnya.

Beliau juga berkata, penduduk di perumahan itu turut menerima bekalan air secara catuan setiap hari antara jam 4 petang hingga 9 malam yang menggangu keselesaan hidup kerana terpaksa mengejar masa untuk menadah air.

Tegasnya, penduduk yang mempunyai anak bersekolahan, bayi yang masih kecil, kakitangan awam dan swasta antara yang sangat terkesan dengan gangguan bekalan air tersebut.

Seorang lagi penduduk yang juga penjawat awam, Sharon Raymond Kisil berkata, gangguan bekalan air itu sangat merumitkan rutin hidupnya bersama keluarga.

Katanya, setiap hari apabila bangun pada waktu pagi, beliau terpaksa memasak air panas untuk dicampur dengan bekalan air dalam baldi kerana suhu air terlalu sejuk apabila ditadah semalaman berikutan pada waktu pagi tiada bekalan air paip disediakan akibat jadual catuan.

Selain itu, beliau turut menyatakan, keadaan itu juga merumitkan kepada penduduk yang bertugas mengikut shif dan terpaksa balik lewat malam kerana apabila sampai ke rumah, bekalan air telah dimatikan.

“Alasan yang diberikan seperti tiada jalan penyelesaian lain untuk menyelesaikan isu ini. Apabila penduduk bertanya kepada pihak pentadbiran perumahan, mereka berkata gangguan itu disebabkan kekurangan bekalan air disalurkan oleh JANS ke tangki utama perumahan ini”. Tegasnya.

Justeru, beliau amat berharap agar kedua-dua pihak segera menyelesaikan isu ini kerana penduduk turut membayar caj bulanan perumahan yang dikenakan oleh pihak pentadbiran yang agak tinggi.

Harapan sama turut disuarakan seorang lagi penduduk dikenali sebagai Andy Alfonsos yang mengakui isu itu menggangu rutin hidup setiap hari.

Jelasnya, agak menghairankan gangguan bekalan air di perumahan ini masih berlaku sedangkan punca air yang diambil oleh Jabatan Air Negeri Sabah di Loji Kg.Kogopon tidak pernah kering tambahan pula ketika ini cuaca sering hujan.

“Entah apa masalah di loji air tersebut dan apa pula masalah dengan sistem tangki air di perumahan ini. Boleh dikatakan cuaca hujan hampir setiap hari, tetapi tetap juga gangguan bekalan air berlaku, tolonglah pihak berkenaan cari jalan penyelesaian isu ini”. Katanya.

Tinjauan ke rumah salah seorang penduduk yang membuat aduan ini semalam mendapati, bekalan air dibuka pada jam 4 petang namun pada jam 7 malam telah terhenti dan beliau hanya sempat menadah air dalam baldi yang tersedia di kedua-dua tandas rumahnya.

Catuan air itu ternyata merumitkan penduduk khasnya untuk melakukan aktiviti mencuci pakaian, pinggang mangkuk serta mengadakan apa juga majlis kenduri yang memerlukan bekalan air yang lancar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN