Keadaan lif di Blok E Kondominium Puncak Gloxnia Kinarut yang rosak dan perlukan pembaikan segera
PAPAR: Penghuni Blok E Kondominium Puncak Gloxnia merayu kepada pihak pengurusan agar segera membaiki kerosakan lif di blok berkenaan untuk melancarkan aktiviti harian termasuk ketika berlaku situasi kecemasan.
Seorang penghuni yang ditemui dan hanya mahu dikenali sebagai Vin berkata, kerosakan lif di Blok E taman perumahan itu telah sekian lama berlaku dan hingga kini tiada penyelesaian oleh pihak pengurusan.
“Apabila diajukan pertanyaan kepada pihak pengurusan, mereka menyatakan pembaikan hanya dapat dibuat selepas perkakasan sampai. Tetapi agak mustahil kerana kerosakan lif itu lebih daripada dua bulan berlalu dan adakah begitu lama perkakas lif tersebut sampai”. Tegasnya.
Manakala seorang lagi penghuni dikenali sebagai Shon menyatakan, beliau kecewa dengan pihak pengurusan kerana setiap bulan ratusan ringgit dibayar kepada mereka untuk caj pengurusan taman perumahan tersebut namun fasiliti penting seperti itu tidak diambil tindakan segera.
Bangunan Blok E Kondominium Puncak Gloxnia setinggi 17 tingkat.
Katanya,bayangkan sekiranya berlaku hal kecemasan, dan hanya satu buah lif yang berfungsi sudah tentu ia membahayakan penghuni kerana ketika ini, lif pengangkut barang yang boleh memuatkan katil pesakit turut mengalami kerosakan.
“Saya merayu kepada pihak pengurusan agar segera memperbaiki kerosakan lif tersebut. Ini adalah taman perumahan bertaraf kondominium dan jangan jatuhkan reputasi itu kerana kami setiap bulan membayar caj pentadbiran yang agak mahal”. Ujarnya.
Tambahnya lagi, adalah amat mustahil pihak pentadbiran mengambil masa terlalu lama untuk menunggu kedatangan perkakasan lif tersebut kerana di negara ini terdapat pelbagai syarikat berkaitan penyelenggaraan lif boleh membantu mereka.
Tinjauan media ke Blok E taman perumahan itu yang mempunyai ketinggian 17 tingkat, mendapati hanya sebuah lif berfungsi yang boleh memuatkan sekitar lapan orang pada satu-satu masa. Kebanyakan penghuni terdiri dari kalangan kakitangan kerajaan dan swasta yang perlu keluar awal ke tempat kerja bermula hari isnin hingga jumaat setiap hari.