Robert Tawik
KENINGAU: Pengguna media sosial diingatkan agar lebih peka dan mampu menilai sesuatu isu sebelum ditularkan kepada umum bagi mengelak tersilap fakta yang mewujudkan suasana tidak tenteram dikalangan komuniti masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, Datuk Robert Tawik berkata, isu-isu yang dipaparkan oleh pemain media sosial yang berpotensi mewujudkan rasa cemas atau menggangu ketenteraman awam seharusnya tidak ditularkan terus kepada mana-mana kumpulan “Whatsapp” atau perisian media sosial lain untuk diadili.
“Seperti baru-baru ini, beberapa isu diperdebatkan secara meluas dikalangan pemain media sosial antaranya seperti dakwaan penculikan, pengedaran dadah dan aktiviti menjual organ manusia. Ini semua adalah isu sensitif yang membangkitkan rasa cemas dikalangan komuniti masyarakat. Kenapa orang awam perlu menjadi pengadil terhadap isu ini dan bukankah tugas itu dibawah kuasa pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mengesahkannya”. Tegasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri Sabah berkata, pemain media sosial juga tidak boleh leka dengan sistem perundangan sedia ada mengenai kesalahan menularkan berita-berita palsu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam kerana dibawah Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998, seseorang yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman setimpal.
Justeru katanya, media sosial adalah landasan terbaik untuk bertukar-tukar pendapat yang memajukan minda atau sesebuah kawasan perkampungan serta komuniti masyarakat dan jangan di salahguna untuk tujuan membangkitkan ketakutan dikalangan masyarakat.
“Memang agak sukar untuk menepis tingkah laku seseorang pemain media sosial daripada menularkan perkara sensitif. Sebaliknya, gunakan platform media sosial untuk bertukar-tukar pendapat yang bernas agar kawasan perkampungan kita lebih maju dan berdaya saing. Bincangkan perkara yang lebih bermanfaat”. Katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon agar pihak berkuasa khususnya PDRM dan Kementerian Komunikasi terus memantau media-media sosial yang mengutarakan isu-isu sensitif agar masyarakat tidak berasa takut atau cemas apabila membaca kandungan yang ditularkan.