24.9 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mei 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PENGELOLAAN AKTIVITI SEPENUHNYA OLEH PELAJAR BERI IMPAK 2 DALAM 1 SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SK NALAPAK

Para pelajar berpeluang mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’, memberi kad ucapan dan hadiah

RANAU: Pengelolaan sepenuhnya oleh pelajar terhadap pengisian Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Kebangsaan Nalapak baru-baru ini memberi impak dua dalam satu iaitu mencungkil bakat kepimpinan pengurusan dan menghangatkan kemeriahan sambutan program tersebut.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti Senamrobik, Kau Baling Cintaku, Kau Bawa Hatiku Dengan Bismillah, Permata Yang Hilang, Semakin Jauh Semakin Sayang, Dari Mata Turun Ke Hati, Penyampaian Cendera Kenangan Pelajar Kepada Guru, koir Kami Guru Malaysia, Sambutan Harijadi Guru Besar, Pertukaran Hadiah, Anugerah Khas Guru dan Majlis Penangguhan telah dikendalikan sepenuhnya pelajar Tahap 2 diketuai oleh Ketua Pelajar, adik Jessandha Grace Jimchon dan adik Daniel Othniel Katom.

Pengendalian sepenuhnya di kalangan pelajar itu memberi ruang yang selesa kepada staf sekolah melakukan aktiviti. Semua acara berjalan penuh meriah dan menyeronokkan sementara para pelajar yang menyaksikan kemeriahan itu bertepuk tangan sambil menyokong guru mereka masing-masing.

Antara tugas yang dikendalikan oleh pelajar ialah sebagai pengacara majlis rasmi, pengadil setiap aktiviti, bacaan doa majlis, mengatur pelajar semasa pemberian hadiah kepada guru-guru dan ucapan aluan Ketua Pelajar.

Pengacara Majlis, Adik Lea Dessandrea Jay Aivine dan Dyllia Katelyn Katom pelajar Tahun 4 semasa ditemui berkata, ia adalah pengalaman berharga bagi mereka mengendalikan acara tersebut.

Antara acara menarik ‘Kau Baling Cintaku’ (bawah) dan ‘Semakin Jauh Semakin Sayang’ (atas) yang diadili sendiri oleh pelajar

“Kami pada mulanya berasa bimbang menerima tugas ini tapi setelah kami diberi penerangan, kata-kata semangat dan tunjuk ajar oleh guru kami, kami bulatkan hati untuk mencuba. Pengalaman ini penting buat kami sebagai pelajar yang sedang belajar. Selamat hari guru kepada guru-guru kami” kata mereka.

Adik Jessandha dalam ucapan aluannya berkata guru ibarat obor menerangi orang lain dan berhadapan dengan cabaran mendidik pelajar di sekolah masa kini.

Gambar Kiri: Pengalaman baru buat adik Lea (depan) dan adik Dyllia sebagai pengacara majlis, dan gambar Kanan: Ucapan aluan adik Jessandha (Ketua Pelajar)

“Pelajar hari ini banyak terpengaruh media sosial dan permainan game sehingga membuang masa dan menggangu fokus dalam pelajaran. Kita mendoakan agar semua kita yang bergelar pelajar di mana pun kita bersekolah terus menghormati guru dan menjauhi disiplin yang tidak baik seperti membuli, mengeluarkan kata-kata kesat atau tidak bermoral dan tidak membuat kerja sekolah,” katanya.

Pada majlis itu, Pasukan Kuning diketuai Guru Besar, Jaipin Kimburon muncul Johan. Naib Johan, Pasukan Biru dan Tempat Ketiga, Pasukan Merah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN