27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Penganjuran pelbagai perayaan, platform kebersamaan masyarakat majmuk

ANTARA Pemimpin PBS yang hadir memeriahkan majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Penganjuran pelbagai perayaan setiap tahun, menjadikan ikatan kebersamaan masyarakat majmuk di Sabah semakin kukuh.

Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Christoper Mandut, berkata, semangat kepelbagaian dan kesatuan juga telah menjadi ciri utama dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara ini, khususnya di Sabah.

“Masyarakat Malaysia, terdiri daripada pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban, dan pribumi lainnya, telah berjaya menjalinkan hubungan erat dan saling menghormati antara satu sama lain, di mana penganjuran perayaan serta sesuatu festival menjadi salah satu faktor penting yang menyumbang kepada perpaduan ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran PBS Bahagian N.20 Api-Api, di Dewan Hakka, dekat sini pada Khamis.

Katanya, setiap tahun, rakyat Malaysia bangga menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali, Pesta Kaamatan, dan Hari Gawai, antara lainnya.

“Perayaan-perayaan ini tidak hanya memperkukuhkan identiti budaya masing-masing tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk saling berkongsi kegembiraan.

Selain itu, katanya, program-program kebudayaan dan pertukaran budaya yang dianjurkan oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti-parti politik turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan pemahaman antara kumpulan etnik.

“Seperti hari ini, kami dapat turut serta dalam acara Yee Sang, melihat dan mendengar persembahan artis dalam kalangan bangsa Cina, dan pakaian tradisional mereka, di samping berpeluang untuk memahami warisan budaya Cina sekaligus menghargai keunikan mereka.

Beliau yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd (PRSB), berkata, komitmen kerajaan terhadap perpaduan juga tercermin melalui dasar-dasar sosial dan pendidikan yang merangkumi semua lapisan masyarakat.

“Pendidikan multibudaya diperkukuhkan dalam kurikulum sekolah, sementara program-program pembangunan komuniti diperluas untuk menyediakan peluang yang sama kepada semua rakyat Malaysia, termasuklah di Sabah,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, dalam memacu kemajuan yang ketara dalam mempromosikan perpaduan, masih terdapat cabaran yang perlu diatasi.

“Sentimen perkauman dan ketegangan etnik kadang-kadang muncul, terutamanya dalam konteks politik dan ekonomi.

“Oleh itu, kesedaran dan pendidikan tentang kepentingan perpaduan dan kepelbagaian terus menjadi keutamaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat majmuk.

Majlis tersebut turut dihadiri Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, dan tiga orang Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Seri Dr Yee Moh Chai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN