CERIA… dua pegamal media Labuan yang teruja dengan sambutan Ambang Meredak di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.
LABUAN: Seramai 12 pengamal media Labuan yang juga ahli Persatuan Penggiat Media Labuan antara 20,000 pengunjung yang menyaksikan Malam Ambang Merdeka secara langsung di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada malam 30 Ogos yang lalu.
Mereka yang diterbangkan terus dari Labuan ke Kuala Lumpur atas tajaan Jabatan Wilayah Persekutuan (JPW) dan Perbadanan Labuan itu bukan sahaja dapat menyaksikan program tersebut secara langsung tetapi juga dapat menghayati suasana sambutan warga Kuala Lumpur menyambut bulan kemerdekaan khususnya ketika menantikan kiraan detik jam 12 malam memasuki tanggal 31 Ogos yang disambut dengan laungan Merdeka.
Turut sama mengiringi pengamal media itu ialah empat pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Korporat Perbadanan Labuan.
SAKSIKAN… Kamarulzaman (dua dari kanan) bersama Zubaidah (tiga dari kanan) dan Othman (kiri sekali) adalah tetamu khas yang hadir menyaksikan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.
Tidak dapat dinafikan pengamal media Labuan yang diberi kesempatan untuk menyaksikan acara gilang gemilang itu teruja apabila Dataran Merdeka dipenuhi dengan lautan manusia dan bermandikan percikan bunga serta bunyi trumpit sepanjang jalan Dataran Merdeka.
Selain itu, sambutan Ambang Merdeka yang bermula jam 9.00 malam itu turut disajikan dengan persembahan tarian seni kebudayaan dan deklamasi puisi kemerdekaan oleh Tokoh Sastrawan Negara, Datuk Rahman Shaari.
Pengunjung turut dihiburkan dengan pementasan drama muzikal berkronologikan peralihan zaman pejuang tanah air menuntut kemerdekaan.
Hadir sama menyaksikan program anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JPW) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh, Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mokhtar dan beberapa kepimpinan kerajaan yang lain.
Turut hadir menyakikan acara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Dr. Othman Jusoh.