Gambar: Sebahagian wakil Masjid dan Surau menerima sumbangan wang tunai dan kotak berisi buah kurma disampaikan Pegawai Pemantau Projek Parlimen Ranau, Dominik Kasuman (tiga kanan).
RANAU: Pengagihan sumbangan Ramadan berupa wang tunai dan buah kurma kepada Masjid dan Surau di kawasan Parlimen di sini, berjalan lancar dan teratur sejak 15 April oleh kakitangan dan Jawatankuasa Biro Hal Ehwal Islam serta para Sukarelawan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.
Pengerusi Biro, Sapilin Bin Mudin memberitahu penghantaran berjalan lancar dan teratur itu akan diteruskan dalam minggu ini dan minggu depan seperti jadual penghantaran yang telah ditetapkan melibatkan 40 buah Masjid dan 89 buah Surau.
Menurut Sapilin penghantaran yang sama melibatkan Jabatan kerajaan Negeri dan Persekutuan serta Pusat Jagaan Anak Yatim dan Madrasah juga akan menerima sumbangan berupa buah Kurma.
“Sumbangan berupa wang tunai RM1,000 setiap sebuah Masjid dan RM500 bagi sebuah Surau adalah atas keprihatinan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin”, jelas Sapilin sambil mewakili Jawatankuasa Biro berterima kasih dengan sumbangan Datuk Jonathan.
Beliau juga berterima kasih dengan bantuan, kerjasama dan sokongan daripada para AJK Biro, para Pegawai dan Penolong Pegawai serta Sukarelawan Pejabat Parlimen Ranau dalam melaksanakan penghantaran sumbangan itu kepada Masjid, Surau dan Pejabat-Pejabat kerajaan.
‘Sokongan dan kerjasama mereka semua amat kita hargai dengan ucapan berbanyak-banyak terima kasih, moga Tuhan memberi ganjaran pahala kepada Datuk Jonathan dan semua yang terlibat”, tambah Sapilin.