Ketua Kampung Narawang, Nahor Mesipoh menyampaikan cendera kenangan kepada perasmi
RANAU: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN N38 Paginatan, YB Datuk Abidin Madingkir mengingatkan para penduduk yang terlibat di tiga kawasan penyukatan iaitu Kampung Narawang, Kampung Waluhu dan Kampung Lutut agar dapat memberikan kerjasama yang baik kepada para pegawai yang akan ditugaskan kelak untuk melancarkan proses penyukatan dan seterusnya pengeluaran geran tanah.
“Sebaik-baik kurangkan protes atau bantahan kerana ini akan hanya merugikan kampung dan melambatkan proses penyukatan serta proses pengeluaran geran,” katanya.
Datuk Abidin berkata demikian ketika merasmikan Majlis Taklimat Persiapan Pengukuran di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah bagi kawasan Kampung Narawang yang diadakan di Mini Dewan kampung tersebut baru-baru ini.
Katanya, Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah, menerusi Program Khas Perkhidmatan Negeri Sabah (PANTAS), mampu memproses pengeluaran geran tanah dengan lebih cepat, selain dapat menyelesaikan masalah permohonan bertindih di sesuatu kawasan tanpa melalui prosedur permohonan tanah biasa.
Kerajaan negeri mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat sebanyak RM20 juta untuk Program PANTAS yang bertujuan menguruskan penyukatan tanah termasuk pembelian alat-alat penyukatan serta elaun-elaun.
Justeru itu katanya para penduduk harus berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menjayakan Program PANTAS demi kebaikan penduduk kampung dan generasi masa akan datang.
Datuk Abidin turut mencadangkan agar bukan sahaja pengukuran di Kampung Narawang, Kampung Waluhu dan Kampung Lutut malahan Program PANTAS ini diharapkan dapat diperluaskan di Kampung Bongkud dan Kampung Namaus dalam masa terdekat.
Turut hadir ialah Pegawai Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Ranau, Jaidi@Adrian Gulis, Pegawai Juru Ukur Pantai Barat (Utara), Desmond Itai, Pegawai dari Unit PANTAS Ibu Pejabat, Avanish Thalival, Setiausaha Bahagian STAR Paginatan, Juis Konsuling, CDO STAR Paginatan, Japili Sigal, Ketua Kampung Narawang, Nahor Mesipoh, Ketua Kampung Waluhu, Jirin Imin dan Ketua Kampung Lutut, Haam Belunsin.
Ketua Kampung Narawang, Nahor Mesipoh menyampaikan cendera kenangan kepada perasmi
Para penduduk yang hadir mendengar taklimat persiapan pengukuran tersebut



