SENGET..Keadaan terkini jambatan gantung merentasi Sungai Liwagu ke Kg.Lungkidau yang rosak Januari lalu
RANAU: Penduduk di tujuh kampung di kawasan paginatan merayu supaya jambatan gantung yang rosak akibat banjir pada pertengahan Januari lalu dapat dibaiki segera.
Jambatan gantung sepanjang kira-kira 100 meter itu perlu dibina semula atau sekurang-kurangnya dibaiki untuk kemudahan penduduk setiap hari termasuk bagi memudahkan murid ke sekolah.
Seorang penduduk kampung Kg. Lungkidau yang mahu dikenali Fauziah Ezf memberitahu, kira-kira 5,000 penduduk dari tujuh kampung iaitu Kampung Paginatan, Kampung Lungkidau, Kampung Toporo, Kampung Bunakon, Kampung Torikon, Kampung Soborong dan sebahagian dari Kampung Kigiwit menggunakan jambatan gantung tersebut untuk menyeberang Sungai Liwagu.
Fauziah berkata, jambatan gantung itu menjadi laluan utama penduduk ke Pekan Ranau, Klinik Kesihatan Paginatan dan murid ke sekolah, selain laluan untuk mengeluarkan hasil pertanian selepas sebuah jambatan konkrit berhampiran runtuh beberpa tahun lalu.
Keadaan jambatan gantung yang didakwa penduduk akan rebah bila-bila masa jika tidak dibaiki segera.
Katanya, keadaan jambatan gantung yang kini senget dikhuatiri bakal mengundang bahaya kepada pengguna.
“Jika jambatan ini tidak dibaiki segera, ia bakal mengancam nyawa pengguna terutama murid-murid yang melaluinya setiap hari ke sekolah.
“Justeru sebelum apa-apa berlaku terutama melibatkan kemalangan jiwa, saya mewakili ribuan penduduk merayu kepada pihak berkenaan agar mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya bagi membaiki jambatan tersebut,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin, hari ini.
Menurut Fuaziah, susulan jambatan gantung yang rosak dan dikhuatiri tidak selamat digunakan itu, terdapat penduduk kampung termasuk ibu sarat mengandung lapan bulan terpaksa memilih meredah air sungai untuk menyeberang kerana tidak berani menggunakan jambatan gantung yang sudah senget.
Mujur katanya, paras air sungai Liwagu ketika ini cetek akibat kemarau sejak beberapa minggu lalu.
TERPAKSA… Ibu mengandung bersama suami terpaksa meredah sungai Ligawu untuk menyebarang
“Mujurlah paras air sungai cetek dan tidak mengalir deras, kalau sebaliknya, bagaimana ibu mengandung itu menyeberang sungai bagi mendapatkan rawatan di klinik ataupun berurusan di pekan?,” soal Fauziah.
Dalam masa yang sama, Fauziah turut meminta wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan dan Parlimen Ranau untuk mendapatkan peruntukan bagi membina semula jambatan konkrit menyeberangi Sungai Liwagu ke Kg. Lungkidau yang runtuh pada tahun 2022.
Untuk rekod, jambatan konkrit sepanjang 133 meter itu telah dibina pada September 2016 sebelum dibuka pada Disember 2016, namun runtuh pada Januari 2022.