Datuk Abidin (tengah) dan lain-lain semasa upacara pecah tanah penempatan baharu penduduk Kg. Kimarahang
Penduduk Kg. Kimarahang bersyukur dapat penempatan baharu
RANAU: Puluhan penduduk Kg. Kimarahang menarik nafas lega selepas mendapat kebenaran mendirikan penempatan baharu di sebuah kawasan Tanah Pertanian selepas kawasa perumahan asal mereka terlibat dengan Projek Lebuhraya Pan Borneo.
Berkenaan hal itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Paginatan turun padang merasmikan pembukaan kawasan perumahan baharu penduduk berkenaan.
“Kita bersyukur kerana akhirnya pihak Jabatan Pertanian membenarkan mangsa Projek Lebuhraya Pan Borneo mendirikan rumah di Kawasan Tanah Pertanian Kg. Tampios.
“Tanah ini telah diwartakan khas untuk membantu penduduk Kg. Kimarahang. Walaupun perwartaan bersyarat tetapi ini menunjukkan Kerajaan amat serius menyelesaikan masalah rakyat.
“Sebagai Wakil Rakyat kamu, adalah menjadi tanggung jawab saya untuk mendengar dan bertindak untuk menyelesaikan masalah rakyat khususnya di DUN Paginatan. Kita bekerja, tidak perlu war-warkan apa yang kita buat, tetapi akhirnya kerja kita membuahkan hasil. Itu lah cara kita bekerja,” kata Datuk Abidin.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Penempatan Baru Kg. Kimarahang yang diadakan di Perkarangan Tepi Sungai Liwago Kg. Tampios di sini pada Sabtu lepas.
Sementara itu, Ketua Anak Negeri (KAN) Dualis Porodtong turut mencerahkan tentang latarbelakang kawasan tanah yang dikenalpasti sebagai tapak penempatan baru bagi penduduk Kg. Kimarahang yang terjejas dengan pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.
Katanya, kawasan tersebut, yang keluasan kebih kurang 3 ekar, adalah Stesen Pertanian yang beroperasi sekitar tahun 80an dan sejak beberapa puluh tahun yang lalu kawasan tersebut telah diabaikan.
“Terdapat usaha kampung melalui Pengerusi JKKK Kg. Tampios memohon supaya kawasan ini dijadikan sebagai tanah rezab kampung, walaubagaimanapun permohonan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian dan Jabatan Tanah Ranau.
“Akhirnya dengan bantuan Wakil Rakyat kita YB Datuk Abidin Madingkir, tanah tersebut telah diwartakan sebagai penempatan sementara penduduk Kg. Kimarahang yang hilang kawasan kampung mereka kerana termasuk dalam jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo.
“Dengan pewartaan tersebut, 19 keluarga boleh menarik nafas lega kerana mereka kini mempunyai kawasan tapak tanah untuk mereka mendirikan rumah yang baru,” katanya.
Ketua Kampung Nursakila Abdullah merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir kerana atas usaha dan bantuan beliau mendapatkan Kawasan Tanah Pertanian sebagai tapak penempatan baru penduduk Kg. Kimarahang.
“Tidak ada alasan untuk kita tidak memberi sokongan padu kepada YB Datuk Abidin untuk terus menjadi Wakil Rakyat selepas PRN17 nanti kerana sesuatu yang agak rumit sebelum ini bagi kita tetapi ia dipermudahkan oleh YB Datuk Abidin, Wakil Rakyat yang kita sayangi,” katanya.
Wakil Penduduk Kg Kimarahang, Bansun Igam berkata, sebagai salah seorang yang terkesan dengan Projek Pan Borneo dan mewakili 19 buah keluarga yang terjejas, beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Datuk Abidin Madingkir atas usaha beliau sehingga merealisasikan impian penduduk mendapat tapak perumahan yang baru.
“Ia sekurang kurangnya menyelesaikan masalah kami mendapat tapak rumah yang baru. Walaupun kawasan tersebut diwartakan sebagai berstatus sementara, tetapi kita sudah bersyukur kerana mendapat tapak perumahan ini, terutama bagi kami yang tidak menpunyai tanah persedirian yang bergeran.
“walaubagaimanapun, kami memohon bantuan daripada YB Datuk untuk memberi sumbangan atap zinc supaya kami dapat memulakan pembinaan rumah yang baru,” katanya.
Bansun menyeru supaya semua penduduk Kg. Kimarahang dan Kg. Tampios supaya memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada YB Datuk Abidin Madingkir yang sentiasa prihatin dengan keperluan kampung.
Sementara itu, Datuk Abidin turut memberikan respon atas permohonan atap zinc dan tangki, “kita akan ajukan permohonan ini kepada pihak Kontrektor Pan Borneo dan mengharapkan mereka boleh bantu melalui Program CSR mereka,” katanya.
Dalam majlis ini, YB Datuk Abidin Madingkir sempat menyempurnakan Perasmian Dapur Mini Dewan Kg. Tampios yang telah siap sepenuhnya bagi kemudahan penduduk Kg. Tampios apabila ada acara kemasyarakan di Dewan tersebut
Turut hadir, ADO Puan Florencia Padasian, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Ketua Wiranita Star Paginatan, Siti Nurjana Abas, Ketua Wiramuda Star Paginatan, Hillary Salmoen dan para pemimpin kampung sekitar.



