Rusdin (tengah) bersama pihak penganjur serta penduduk di Kg Kilimu semasa program penanaman pokok itu
RANAU: Selari dengan usaha nasional melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, penduduk di Kg Kilimu Ranau mengambil inisiatif untuk menanam sebanyak 38 pokok jenis Pine dekat sini baru-baru ini.
Jenis pokok itu dipilih kerana dari sudut alam sekitar, pokok pine mampu menyerap karbon dioksida dengan berkesan, sekali gus membantu mengurangkan kesan pemanasan global.
Akar pokoknya membantu menguatkan struktur tanah dan mengurangkan hakisan di samping memberi perlindungan kepada ekosistem serta menyumbang kepada keseimbangan alam.
Selain itu, pokok pine juga mempunyai nilai ekonomi yang tinggi di mana kayunya digunakan dalam industri pembinaan, perabot dan kertas, malahan, ia juga berpotensi menjadi sumber pendapatan jika diurus secara lestari.
Justeru, pokok pine bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah membuka peluang kepada pembangunan ekonomi komuniti pada masa hadapan.
Adun Paginatan, Datuk Rusdin Riman yang turut serta hadir dalam program penanaman pokok itu berkata, jumlah 38 pokok itu ditetapkan sesuai dengan nombor kawasan Dun Paginatan iaitu N38 Paginatan.
“Pokok yang kita tanam hari ini akan menyumbang kepada kualiti udara yang lebih bersih, membantu mengurangkan kesan perubahan iklim, menjadi warisan hijau untuk generasi akan datang.
“Lebih daripada itu, ia mencerminkan kesedaran kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Apa yang kita lakukan hari ini bukan sekadar menanam pokok, tetapi sebenarnya kita sedang menanam harapan.
“Harapan untuk udara yang lebih bersih, persekitaran yang lebih hijau, dan kehidupan yang lebih seimbang antara manusia dan alam. Kita juga sedang mewariskan sesuatu yang amat bernilai kepada generasi akan datang—iaitu sebuah alam yang masih mampu memberikan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Program Penanaman Pokok Kayu Kampung Kilimu anjuran Pertubuhan Bekas-Bekas Pelatih OISCA Sabah (PBPOS) dengan kerjasama Child Forest Program (CFP) dan Pusat Latihan Belia KPD OISCA Tenom dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya, program ini membawa beberapa objektif penting yang harus difahami dan hayati bersama seperti pemuliharaan alam sekitar dan ekosistem di mana penanaman pokok memainkan peranan besar dalam mengurangkan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida dan penghasilan oksigen.
“Selain itu, ia membantu memulihkan kawasan yang terosot seperti kawasan bekas pembalakan atau tanah terbiar, di samping mengawal hakisan tanah serta mengurangkan risiko bencana alam,” katanya.
Tambah beliau, program itu juga memberi kesedaran dan pendidikan masyarakat kerana program ini juga menjadi platform untuk memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
“Melalui pendekatan pendidikan lapangan seperti CEPA (Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam), kita dapat memberi pendedahan mengenai kepentingan pokok, termasuk spesies bernilai seperti hasil hutan bukan kayu, contohnya Tongkat Ali,” katanya.
Dalam pada itu, Rusdin berkata, program juga mempromosikan penghijauan dan pembangunan sumber memandangkan usaha ini menyokong agenda penghijauan negara dengan meningkatkan litupan hijau.
“Penanaman pokok berkualiti seperti jati serta pokok di kawasan sensitif seperti pesisir pantai turut menyumbang kepada perancangan sumber yang lestari dan pembangunan ladang hutan bagi memenuhi keperluan industri kayu-kayan,” katanya.
Tambahan lagi, katanya, ia juga membuka ruang kepada penglibatan pelbagai pihak termasuk sektor swasta dan sukarelawan dalam menjayakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), sekali gus memperkukuh kerjasama antara komuniti dan organisasi dalam memelihara alam sekitar.
Memandang jauh ke depan, Rusdin berkata, program itu juga memacu perkembangan sosio-emosi dan kesejahteraan diri kerana ia mengingatkan masyarakat pada falsafah Jepun seperti Wabi-Sabi.
Falsafah itu, katanya, menghargai ketidaksempurnaan dan perjalanan masa melalui alam semula jadi seperti lumut, serta Shinrin-Yoku yang menekankan kepentingan berada di hutan untuk meredakan stres. Usaha ini amat penting kerana di sebalik kemajuan pembangunan, kita terus mengutamakan kesihatan sosio-emosi dan kesejahteraan diri.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut, khususnya pihak penganjur, agensi terlibat serta komuniti setempat.
“Saya menyeru agar usaha murni ini tidak terhenti di sini sahaja. Marilah kita bersama-sama menjaga pokok-pokok yang ditanam ini agar ia terus hidup subur dan memberi manfaat dalam jangka masa Panjang,” jelas beliau.



