KENANGAN…Flovia (duduk tengah) bergambar bersama Pengarah JHEWA, Pengerusi dan Ahli MPWS serta para peserta yang hadir
KOTA KINABALU: Institusi-institusi pendidikan perlu menyediakan pendidikan dan latihan mengenai gangguan seksual kepada pelajar serta kakitangan, saran Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Negeri Sabah, Datuk James bin Ratib.
Ini penting, katanya, agar semua pihak dapat mendalami pelbagai aspek mengenai gangguan seksual, termasuk bagaimana ia boleh dielakkan dan bagaimana kita boleh memberi sokongan kepada mangsa serta penyaluran aduan mengikut saluran yang telah tetapkan oleh kerajaan.
“Majikan dan organisasi juga perlu memastikan bahawa tempat kerja adalah selamat dan bebas daripada gangguan seksual.
“Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam menentang gangguan seksual dengan meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan kepada mangsa dan melaporkan kes-kes yang berlaku menggunakan saluran yang betul dengan melaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS),” kata beliau.
Beliau yang juga ADUN Sugut berkata demikian sempena Majlis Perasmian Penutupan Forum “Celik Hak: Tribunal Bagi Antigangguan Seksual” yang diadakan di Kinabatangan Hall III, Sabah International Convention Centre pada hari Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Datuk Flovia Ng, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang turut mewakili beliau dalam program berkenaan.
Beliau mengucapkan syabas dan berterima kasih kepada pihak penganjur, Jawatankuasa Undang-Undang Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah selaku urus setia kerana berjaya menganjurkan program itu.
“Penganjuran forum hari ini merupakan satu inisiatif penting yang bertujuan untuk menangani dan mencegah isu gangguan seksual yang semakin mencabar dalam masyarakat.
“Forum ini juga merupakan platform yang strategik dan signifikan dalam meningkatkan kesedaran serta membincangkan langkah-langkah pencegahan dan memperkukuhkan usaha-usaha dalam menangani isu ini secara holistic,” katanya.
Menurut James, gangguan seksual bukan sahaja merupakan satu jenayah, malahan ia juga merupakan satu isu sosial dan dapat memberi kesan mendalam kepada individu yang mengalaminya serta merosakkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh itu, ujar beliau, adalah tanggungjawab semua pihak tidak kira peringkat umur, jantina, atau latar belakang untuk berganding bahu dalam memerangi masalah ini dan memastikan bahawa semua orang dapat hidup dan bekerja dalam persekitaran yang selamat dan menghormati hak serta maruah masing-masing.
Dalam konteks ini, tambah beliau, forum menyediakan platform yang penting untuk kita berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan pandangan tentang gangguan seksual.
“Untuk mencapai matlamat ini, adalah penting untuk kita semua mengambil tanggungjawab masing-masing. Komitmen kita bersama adalah penting dalam mencipta persekitaran yang lebih selamat, aman dan sejahtera.
“Forum ini bukanlah titik akhir, tetapi adalah satu langkah permulaan dalam usaha berterusan untuk membanteras gangguan seksual dalam masyarakat.
“kita juga perlu berkomitmen melaksanakan tindakan-tindakan yang telah dibincangkan, dan memastikan bahawa tindakan-tindakan tersebut memberi kesan positif kepada kesejahteraan masyarakat,” jelas beliau.