DR.JEREMIAH (kiri) menerima cenderkenangan daripada penganjur.
KOTA KINABALU: Lebih daripada 1,500 penghamilan melibatkan gadis-gadis bawah umur telah dilaporkan dari 2017 sehingga 2021, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KMKR), Datuk James Ratib.
“Angka ini betul-betul menggelisahkan; begitu juga dengan amalan yang tidak berperikemanusiaan yang semakin hari semakin menjadi yakni pembuangan bayi-bayi tak berdosa yang baru lahir tetapi tidak diingini.
“Saya terbaca di media tentang kelahiran anak-anak luar nikah oleh ibu-ibu mereka yang masih kanak-kanak – di Negeri Sembilan dan Terengganu umur 11 tahun dan di Pulau Pinang umur 9 tahun.
“Media juga melaporkan bahawa pada tahun 2022 sahaja terdapat 329 kes kehamilan luar nikah remaja di Sabah yang merupakan bilangan kedua tertinggi di Malaysia,” katanya.
James berkata, di Sabah, pernah viral tentang kes pemangsa berumur 41 tahun yang merogol seorang kanak-kanak perempuan umur 12 tahun 6 bulan dalam sebuah kereta di Air Terjun Kiansom Inanam.
“Hampir setiap hari ada saja berita-berita yang dilaporkan dalam surat-surat khabar arus perdana dan juga portal-portal atas talian di laman sesawang tentang penderaan atau serangan seksual ke atas kanak-kanak.
“Adalah di luar naluri kemanusiaan apabila pencerobohan yang kejam dan hina dilakukan kepada kanak-kanak yang kecil dan lemah.
“Saya rasa ngeri apabila membayangkan betapa pedihnya perasan kanak-kanak yang telah dinodai. Gambarkan ketakutan dan kegusaran kanak-kanak ini terutama sekali mereka yang telah menjadi mangsa berulang kali sebelum pelaku ditangkap polis,” katanya.
Menurut James, di samping kecederaan fizikal yang dialami oleh kanak-kanak ini, ketidaktenteraman mental juga boleh mengakibatkan pertumbuhan sikap mereka terbantut malahan kekal sebagai sebahagian daripada karekter mereka.
Tambahnya lagi, hampir semua kanak-kanak mangsa jenayah seksual mengalami PTSD (post traumatic stress disorder) dalam pelbagai bentuk.
“Ada yang tidak mahu atau tidak tahu bagaimana memberitahu pihak yang ingin menolong mereka; ada yang menghidap kecelaruan fikiran, kerap bermimpi ngeri yang berkait dengan kejadian pencerobohan ke atas mereka; atau kedukaan mental dan fizikal sehingga ada yang cuba mencederakan diri atau membunuh diri,” katanya.
Ini, katanya lagi, jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak mangsa jenayah seksual pada usia yang begitu muda dan berbadan kecil dipaksa berhadapan dengan cabaran yang menyeksa dan menguji kemampuan dan ketabahan mereka untuk menerima pertolongan dan meneruskan hidup.
James yang juga Adun Sugut menyatakan demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Pegawai Khas (I) kepada Menteri, Jeremiah Daniel, semasa DIALOG SABAH: “Menambahbaik Sokongan dan Perlindungan Mangsa Jenayah Seksual Kanak-Kanak” yang diadakan di The Palace Hotel, Kota Kinabalu pada hari Selasa.
Beliau menambah bahawa penelitian terperinci data jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dipungut dan disusun, menyatakan bahawa, antara yang lain, terdapat dua kumpulan besar pemangsa.
Katanya, satu sub-kumpulan pula wujud dari tindanan kedua-dua kumpulan besar ini.
“Cukup mengejutkan ialah majoriti pemangsa-pemangsa dari sub-kumpulan ini berlatarbelakangkan keluarga daif yang tinggal jauh terpencil dari bandar atau pekan,” katanya.
Sementara itu, James memberitahu bahawa banyak insiden jenayah seksual ke atas kanak-kanak tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Lebih-lebih lagi jika keluarga mangsa berhadapan dengan hakikat bahawa pemangsa adalah ahli keluarga sendiri kepada kanak-kanak yang diperkosa.
“Ini bertambah buruk apabila masyarakat setempat yang mengetahui tentang perbuatan keji ini memilih untuk tidak menjaga tepi kain orang lain,” katanya.
Justeru, beliau meminta kerajaan pusat untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi di Sabah seperti kekurangan sumber manusia; dan kelemahan kapasiti Teknikal.
Selain itu, katanya tindakan jug aperlu diambil keatas kekurangan fasiliti seperti Child Interview Centre (CIC) di daerah-daerah yang strategik; mahkamah-mahkamah dan hakim-hakim yang khusus; dan kekurangan peruntukan kewangan untuk program pendidikan, pencegahan, dan sebagainya.
“Tidak lupa tentang hal kesukaran dalam pengesanan dan pengendalian kes-kes jenayah seksual kanak-kanak, termasuk pornografi kanak-kanak yang kian meningkat di atas talian di mana kepakaran spesifik untuk siasatan dan dakwaan diperlukan,” tegas beliau.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Women’s Centre for Change (WCC) dan Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO) dan penaja, Canada Fund for Local Initiatives (CFLI) yang merealisasikan sesi dialog itu.
“Kerajaan Sabah menyambut baik dan menghargai semua bentuk penglibatan kamu dalam mencari syor-syor yang bernas kepada topik yang diperbincangkan ini.
“Sesungguhnya usaha berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan kemahiran dalam pelbagai aspek dan perspektif, akan menjadikan program kali ini mencapai objektif yang dikehendaki.
“Saya harap semua pihak bersumbangsaran sesama kamu dalam dialog pada hari ini dan mencurahkan pendapat untuk mencari solusi-solusi yang inklusif untuk membantu kanak-kanak yang telah menjadi mangsa jenayah seksual,” katanya.
Hadir sama ialah lebih daripada 40 individu yang mewakili Bahagian D11 Polis DiRaja Malaysia, hospital-hospital, jabatan kebajikan, Jabatan Peguam Negara, mahkamah, dan badan-badan bukan-kerajaan.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Kerja Advokasi WCC, Lalitha Menon, Presiden SAWO, Dr Easwary Hari Ramulu dan Pengarah Program WCC, Karen Lai, antara lain.