25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Oktober 30, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PEMUDA PBS BINGKOR KEKAL SOKONG GRS DEMI KESTABILAN, PERJUANGAN HAK SABAH

Ketua Pemuda PBS Bahagian Bingkor, Harry Philippus

KENINGAU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.40 Bingkor menegaskan komitmen teguh mereka untuk terus menyokong kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi mengekalkan kestabilan politik, meneruskan pembangunan rakyat serta memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketuanya, Harry Philippus, berkata GRS terbukti sebagai platform politik paling stabil dan berkesan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah, khususnya di kawasan luar bandar seperti Bingkor.

“Kami percaya bahawa kestabilan politik merupakan asas kepada pelaksanaan pembangunan yang mampan dan adil. Tanpa kestabilan, segala dasar dan perancangan untuk rakyat tidak dapat dijayakan dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Harry menegaskan, sokongan Pemuda PBS Bingkor terhadap GRS bukan sekadar soal politik, tetapi kerana gabungan itu jelas memperjuangkan kepentingan Sabah berdasarkan semangat MA63.

Katanya, di bawah kepimpinan GRS yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, perjuangan menuntut hak Sabah dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan, termasuk dalam aspek autonomi pentadbiran, pengagihan hasil negeri dan keseimbangan pembangunan antara Sabah dan Semenanjung.

“Perjuangan ini penting bukan sahaja untuk kita hari ini, tetapi juga bagi memastikan masa depan generasi muda Sabah terus terjamin dan dihormati sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia,” ujarnya.

Menurut Harry, kerjasama erat antara parti-parti komponen GRS telah membuahkan hasil yang jelas di peringkat akar umbi, termasuk di kawasan Bingkor.

Beliau berkata, pelbagai projek pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik luar bandar serta kemudahan pendidikan dan kesihatan sedang dan telah dilaksanakan di bawah kerajaan GRS.

“Ini bukti nyata bahawa kestabilan dan kesepaduan politik memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan sampai ke setiap kampung dan kawasan luar bandar,” katanya.

Harry berkata, Pemuda PBS Bingkor komited untuk terus memainkan peranan aktif membantu kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan rakyat serta menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kepimpinan.

“Kami akan memastikan setiap isu dan suara akar umbi disampaikan kepada pihak berwajib agar tidak diabaikan. Golongan muda perlu tampil menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan negeri,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat di N.40 Bingkor agar tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan politik negeri.

“GRS telah membuktikan bahawa gabungan ini mampu mentadbir dengan baik dan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum atau agama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Harry menegaskan bahawa Pemuda PBS Bingkor kekal berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Bahagian PBS Bingkor, Datuk Peter Jino Alliun, serta kepimpinan tertinggi parti yang diterajui oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

“Kami yakin dengan semangat kerjasama dan keikhlasan berkhidmat, PBS bersama rakan komponen dalam GRS akan terus memperkukuh kestabilan politik di Sabah dan memastikan pembangunan berterusan untuk rakyat,” katanya.

Harry menegaskan bahawa Pemuda PBS Bingkor akan terus komited memperjuangkan perpaduan, kestabilan dan hak Sabah di bawah MA63 sebagai kunci kepada masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.

“Kami akan terus bersatu dan berkhidmat demi rakyat serta kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN